Rabu, 10 Julai 2013

Hukum Menggunakan Bekas Minuman Arak



Oleh : Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri, Negara Brunei Darussalam
Fatwa Mufti Kerajaan 1999

Soalan:-


Unit Kawalan Akidah dan Syara'iah telah menerima aduan daripada orang awam yang ingin mengetahui kedudukan hukum orang Islam meminum lemonade yang menggunakan bekas botol minuman keras Carlsberg. Sehubungan dengan itu, sukacita unit ini memohon kerjasama dari Jabatan Tuan untuk meminta pandangan dan fatwa daripada Yang Dimuliakan Pehin Mufti mengenai perkara tersebut.

Jawapan:


الحمد لله الفتاح الوهاب الهادى إلى الحق والصواب، والصلاة والسلام على رسوله خاتم الأنبياء والرسل، واله وصحبه أجمعين.

Apabila disebut minuman keras, ia adalah istilah yang merangkumi pelbagai jenis minuman yang memabukkan, clan setiap yang memabukkan haram dengan ijmii' ulama.Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda menerusi riwayat Abu Musa:


كل مسكر حرام


Maksudnya: "Setiap yang memabukkan itu adalah haram. " (Hadis riwayat Ahmad,Muttafaq 'alaih, Abu Daud dan Nasa )

Oleh kerana ia daripada jenis cecair, mengikut jumhur ulama, termasuklah ulama-ulama Syafi'iyyah, selain daripada haram diminum, ia juga dihukumkan najis. Imam Nawawi berkata di dalam Minh&j Al- Th&libin h. 15):

باب النجاسة: وهى كل مسكر مائ


Ertinya: "Bab menerangkan jenis-jenis najis: Dan ia termasuklah setiap cecair yang memabukkan"

Ketika menghuraikan perkataan Imam Nawawi ini, Ibnu Hajar menerangkan bahawa setiap cecair yang memabukkan itu termasuklah jenis khamr dan segala jenisnya sarna ada yang diperbuat daripada anggur ataupun nabiz iaitu yang diperbuat selain daripada anggur. (Al- Tuhfah 1/288)

Dalil kenajisan khamr atau arak ini ialah firman Allah Ta'ala:


إنما الخمر والميسر والانصاب والازلم رجس من عمل الشيطان


Tafsirnya: "Bahawa sesungguhnya arak, dan judi dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) daripada perbuatan syaitan. "
(Surah Al-Maidah: 90)

رجس atau kekotoran arak di dalam ayat ini diertikan oleh jumhur ulama sebagai najis, dan kenajisannya itu tergolong dalam najis mutawassithah (pertengahan). Cara membersihkan tempat yang terkena najis ini ialah dengan membersihkannya sehingga hilang bau, rasa dan warnanya.

Mengenai dengan bekas botol arak seperti 'Carlsberg', apabila ianya sudah dibersihkan mengikut cara membersihkan najis mutawassithah, maka ia menjadi botol yang suci, dan apa saja jenis makanan atau minuman yang dimasukkan ke dalamnya adalah suci dan tidak bemajis.
'
CARLSBERG'

Perkataan 'Carlsberg' pada botol adalah cap bagi salah satu jenama minuman keras. Umumnya orang-orang Islam di negara ini turut mengetahui bahawa 'Carlsberg' itu adalah jenama bagi arak.

Dalam siyasah Islamiyyah, adalah menjadi tugas dan kewajipan pihak berkuasa membuang dan mencegah segala kemungkaran dan menghalang terjadinya sebab-sebab kemungkaran itu.

Ketika membahaskan senarai perkara-perkara yang tidak boleh dizahirkan kepada orang-orang Islam oleh orang-orang kafir dzimmi, Ibnu Hajar di dalam AI- Tuhfah 9/301 antara lain berkata:

ومن إظهار منكر بيننا نحو خمر وخنزير وناقوس


Ertinya: “ (Termasuk yang ditegah) ialah menzahirkan mungkar di kalangan kita orang-orang Islam, seperti arak, babi dan loceng gereja. "Mengikut beliau lagi, di antara sebab ia ditegah itu ialah kerana ianya boleh membawa pelbagai kemungkaran. Selain daripada itu, perkara yang turut dilarang sarna sekali tidak boleh dizahirkan ialah syiar atau lambang kekufuran dan kemungkaran. (AI-Tuhfah 9/301 dan AI-Muhgni 4/323).

Oleh kerana 'Carlsberg' itu salah satu daripada jenis minuman keras, maka wajiblah ia dihalang atau ditegah oleh pihak berkuasa daripada zahir atau muncul secara terang-terangan di kalangan umat dan negeri Islam, sarna ada kemunculannya itu menerusi iklan-iklan di media massa, poster-poster, botol-botol minuman dan sebagainya.

Apabila lambang 'Carlsberg' itu terdapat pada barang-barang yang lazim dan biasa terdedah kepada orang-orang Islam, seperti pada pakaian dan botol-botol minuman, dan dibiarkan beredar dan berleluasa di kalangan orang-orang Islam, maka hal ini seakan-akan mempromosi, melaris atau mengiklankan 'Carlsberg' sebagai salah satu jenama arak yang juga menjadi salah satu lambang kemungkaran itu.

Oleh kerana 'Carlsberg' itu arak atau lambang arak, maka dengan membiarkannya terdedah dan beredar di kalangan orang Islam, sekalipun hanya botol atau namanya sahaja (Carlsberg) yang ditampal dan dipamerkan pada mana-mana objek seperti baju dan sebagainya, ini bermakna membiarkan perkara mungkar itu terjadi dalam masyarakat. Hal ini tidak boleh dibiarkan dan mesti dihalang.

Luqman pernah berpesan kepada anaknya sebagaimana firman Allah:


يبني أقم الصلوة وأمر بالمعروف وأنه عن المنكر


Tafsirnya: "Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar... "
(Surah Luqman: 17)


Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam pemah bersabda:


من رأى منكم منكرا فليغيره بيده فإن لم يستطع فبلسانه فإن لم يستطيع فبقلبه وذلك أضعف الإيمان


Maksudnya: "Sesiapa yang melihat satu-satu kemungkaran, maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangan (kekuasaannya), jika dia tidak sanggup atau berdaya, maka dengan lidah (nasihatnya), dan jika tidak berupaya, maka dengan hati (membencinya) dan cara yang terakhir ini, adalah selemah-lemah iman. "
( Hadis riwayat Ahmad dan Muslim )

Bekas Botol 'Carlsberg'

Apabila botol yang bercap 'Carlsberg' itu berisi arak, lalu dizahirkan di kalangan orang-orang Islam, maka di sini ada dua perkara kemungkaran yang terjadi, pertama lambang atau cap 'Carlsberg' itu sendiri dan kedua ialah arak.

Botol semata-mata yang bercap 'Carlsberg' adalah suci, tetapi oleh kerana ianya diisi dengan arak jadilah ia bemajis. Jika arak dibuang dan botol dibersihkan, maka botol itu menjadi suci, akan tetapi masih tetap mengandungi lambang kemungkaran iaitu cap 'Carlsberg'.

Merujuk kepada hukum perkara yang diminta fatwa: Minum oren 'lemonade' menggunakan bekas minuman keras 'Carlsberg', persoalan yang perlu diperhatikan di sini ialah, adakah bekas minuman keras itu sudah dibersihkan mengikut cara mensucikan najis mutawassithah? Jika sudah, maka oren itu boleh dan halal diminum, akan tetapi jika belum, maka oren itu adalah bercampur najis arak, hukumnya najis dan haram diminum.

Mengenai bekas botol 'Carlsberg' yang dipakai atau dipergunakan semula oleh orang-orang Islam setelah ianya dibersihkan dan tidak mengandungi arak lagi, adalah penggunaan tersebut masih saja boleh menimbulkan fitnah atau kesan negatif kepada pengguna-pengguna Islam, dan bahkan juga boleh menghitamkan imej negara Islam sendiri.

Di antaranya:

(a)Akan timbul tohmah atau sekurang-kurangnya sangkaan, bahawa yang diminum oleh orang Islam itu ialah arak.

(b)Tidak syak lagi, ianya masih saja satu promosi bagi jenama arak yang berlambangkan 'Carlsberg' itu.

(c)Menjual minuman oren dan seumpamanya dengan menggunakan botol bekas minuman Carlsberg, boleh dianggap sebagai senghaja menghina Islam dengan menzahir dan mengembangkan syiar minuman keras itu, padahal masih ada banyak lagi botol-botol lain yang boleh digunakan.

(d) Boleh dianggap sebagai melawan hukum Allah dan undang-undang negara serta tidak bekerjasama dengan pihak kerajaan yang telahpun menguatkuasakan pengharaman arak yang meliputi pengedaran dan penjualannya.

(e) Boleh melahirkan tanggapan adanya kelemahan di dalam kerajaan sehingga tidak dapat mengawal perkara-perkara mungkar yang berkaitan dengan arak, padahal kerajaan telahpun mengisytiharkan pengharamannya.

(f) Boleh mendatangkan sangkaan, khasnya bagi orangorang asing, bahawa di negara ini dibenarkan beredar dan meminum minuman keras dengan sebebasnya.

Oleh yang demikian penggunaan botol-botol 'Carlsberg' sebagai botol minuman oren itu adalah perlu dicegah demi mengelakkan kekeliruan serta mencegahnya daripada menjadi satu promosi kepada jenama arak berkenaan

Melarang atau mencegah manusia daripada berada dalam kedudukan yang diragui atau yang boleh menimbulkan tohmah adalah dituntut oleh syara'. Ini berdasarkan sabda Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam:


دع ما يريبك إلى ما لا يريبك


Maksudnya: "Tinggalkanlah perkara-perkara yang membawa ragu-ragu kepadamu, (dan) ambillah apa-apa yang tidak meragukanmu. "
(Hadis riwayat Tirmidzi dan Nasa 'i Berkata Tirmidzi hadis Hasan shahih)

Sumber http://www.e-infad.my/i-fms/index.php?option=com_fatwa&task=viewlink&link_id=114&Itemid=48

Di copy dari : http://jomfaham.blogspot.com/2013/07/hukum-menggunakan-bekas-minuman-arak.html

Sabtu, 20 April 2013

Doa Orang Mandul Untuk Mendapatkan Anak


Soalan:

Saya dan suami telah lama berkahwin, namun hingga sekarang kami masih belum dikurniakan walau seorang anak. Apakah ada sesuatu amalan mahupun doa yang dapat menjadi sebab agar saya dikurniakan anak?

Jawapan:

Saya mencadangkan kepada puan untuk berdoa dengan doa Nabi Zakaria AS yang terdapat di dalam al-Quran, iaitulah:

وَزَكَرِيَّا إِذْ نَادَى رَبَّهُ

رَبِّ لا تَذَرْنِي فَرْدًا وَأَنتَ خَيْرُ الْوَارِثِينَ

Mafhumnya: “dan (ingatlah kisah) Zakaria, tatkala ia menyeru Tuhannya: "Ya Tuhanku janganlah Engkau membiarkan daku hidup seorang diri dan Engkaulah waris yang paling Baik.”  (al-Anbiya: 89) Doa yang saya maksudkan iaitulah yang dihitamkan tulisannya.

Seterusnya Allah SWT menjawab permohonan baginda dengan berfirman:

Mafhumnya: “Maka Kami (Allah) memperkenankan doanya, dan Kami anugerahkan kepadanya Yahya dan Kami jadikan isterinya dapat mengandung. Sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang selalu bersegera dalam (mengerjakan) perbuatan-perbuatan yang baik dan mereka berdoa kepada Kami dengan harap dan cemas. dan mereka adalah orang-orang yang khusyu' kepada kami.” (al-Anbiya: 90)

Selain itu, Baginda juga berdoa dengan menyebut:

هُنَالِكَ دَعَا زَكَرِيَّا رَبَّهُ قَالَ

 رَبِّ هَبْ لِي مِن لَّدُنْكَ ذُرِّيَّةً طَيِّبَةً إِنَّكَ سَمِيعُ الدُّعَاء
Mafhumnya: “di sanalah Zakariya mendoa kepada Tuhannya seraya berkata: "Wahai Tuhanku, berilah aku dari sisi Engkau seorang anak yang baik. Sesungguhnya Engkau Maha Pendengar doa". (Ali Imran: 38) Doa yang saya maksudkan iaitulah yang dihitamkan tulisannya.
Sesungguhnya kedua-dua doa ini amat bersesuai dengan situasi yang dihadapi oleh puan dan suami. Di dalamnya terdapat pengajaran yang perlu diperhatikan, mutiara yang mesti digali. Selain itu kisah antara Nabi Ibrahim dan isteri baginda Sarah juga boleh diambil pengajaran. Dengan kesabaran mereka berdua, Allah SWT telah menganugerahkan Ishak dan Ismail. Allah SWT berfirman tentang Nabi Ibrahim:

Mafhumnya: “segala puji bagi Allah yang telah menganugerahkan kepadaku di hari tua (ku) Ismail dan Ishaq. Sesungguhnya Tuhanku, benar-benar Maha mendengar (memperkenankan) doa.” (Ibrahim: 39)

Di samping itu saya cadangkan juga agar puan dan suami memperbanyakkan beristighfar kepada Allah SWT. Sesungguhnya istighfar dapat menjadi sebab dikurniakan anak. Allah SWT berfirman:

Mafhumnya: “beristighfarlah (perbanyakkan istighfar) kepada Tuhanmu, -sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun, niscaya Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat, dan membanyakkan harta dan anak-anakmu, dan Mengadakan untukmu kebun-kebun dan Mengadakan (pula di dalamnya) untukmu sungai-sungai.” (Nuh: 10-12)

Al-Imam al-Qurtubi berkata: Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala (bermaksud): “Mohonlah keampunan kepada Tuhanmu” iaitu Mintalah kepada Allah keampunan dari dosa-dosa yang lalu beserta mengikhlaskan keimanan kepadanya. (firman Allah yang bermaksud:) “Sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun.” Iaitu, Dia (Allah) sentiasa Maha Pengampun bagi sesiapa yang kembali kepadaNya, ia merupakan galakan supaya bertaubat. (Firman Allah yang bermaksud:) “Dia akan mengirimkan hujan lebat kepadamu.” Iaitu Dia akan mengirimkan air dari langit (hujan yang lebat), (firman Allah yang bermaksud:) “dan Dia akan membanyakkan harta dan anak-pinakmu, dan mengadakan kebun-kebun dan sungai-sungai yang mengalir untukmu.” Berkata al-Sya’bi: “Umar pernah keluar untuk memohon hujan (الإستسقاء), kemudian beliau pulang (tanpa menunaikan sebaran solat), setelah itu, hujan turun. Orang ramai bertanya kepadanya: kami tidak anda memohon diturunkan hujan (dengan menunaikan solat al-istisqa). ‘Umar menjawab: Sesungguhnya aku telah memohon hujan dengan anak kuncinya (مجاديح), kemudian beliau membaca firman Allah Mohonlah keampunan kepada Tuhanmu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun, Dia akan mengirimkan hujan lebat kepadamu. Perkataan مَجَادِيْح (yang diterjemahkan sebagai anak kunci) asalnya dari perkataan Mijdah (مِجْدَح) yang bermaksud bintang, ini kerana masyarakat Arab dahulunya menyangka bintang itu menurunkan hujan. Lalu ‘Umar Radhiyallah ‘anhu hendak menjelaskan kesalahan sangkaan itu, maka beliau menjelaskan bahawa beliau memohon hujan dengan sebab yang betul iaitulah dengan beristighfar bukan dengan memohon kepada bintang.

            Kata Ibn Subaih: Pernah juga seorang lelaki mengadu kepada al-Hasan tentang kemarau, beliau menjawab: Beristighfarlah kepada Allah. Datang orang lain pula mengadu kepadanya tentang kefakiran yang dialaminya, beliau menjawab: beristighfarlah kepada Allah. Datang lagi kepadanya seorang lelaki dan berkata: Doakanlah kepada Allah supaya Dia mengurniakan anak kepadaku. Beliau menjawab: beristighfarlah kepada Allah. Datang orang lain pula mengadu tentang kebunnya yang kering, beliau menjawab: beristighfarlah kepada Allah. Kami bertanya kepada al-Hasan tentang jawapan-jawapannya itu,  beliau menjawab: Aku tidak mengatakan sesuatu dari diriku, kerana sesungguhnya Allah SWT telah berfirman di dalam surah Nuh: “Mohonlah keampunan kepada Tuhanmu, -sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun. (11) Niscaya Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat, (12) Dan membanyakkan harta dan anak-anakmu, dan mengadakan untukmu kebun-kebun dan mengadakan (pula di dalamnya) untukmu sungai-sungai.” (Nuh 10 – 12).” (Tafsir al-Qurtubi 18/301-303)
Saya sertakan di sini beberapa Sighah Istigfar
1.       Daripada Shaddad bin Aus Radhiyallahu ‘anhu, Nabi Sallallahu ‘alaih wa sallam bersabda: Penghulu istighfar ialah dengan kamu membaca:
اللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّي لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ خَلَقْتَنِي وَأَنَا عَبْدُكَ وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ
أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ أَبُوءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيَّ وَأَبُوءُ لَكَ بِذَنْبِي فَاغْفِرْ لِي فَإِنَّهُ لَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ
Mafhumnya: Ya Allah, Engkaulah Tuhanku, tiada tuhan yang disembah melainkan Dikau yang telah menciptaku. Daku adalah hambaMu dan daku berada di atas perjanjianMu sekadar mampuku, daku berlindung dengan Mu dari kejahatan apa yang telah daku lakukan, daku mengaku kepadaMu banyaknya nikmatMu kepadaku, dan daku juga mengaku banyaknya dosaka, oleh itu ampunilah daku, kerana sesungguhnya tidak ada yang mengampunkan dosa melainkan Dikau. Nabi seterusnya bersabda: Sesiapa yang mengucapkan kalimat ini pada siang hari, dalam keadaan yakin dengan isi kandungannya, dia mati sebelum petang, maka dia termasuk dari kalangan ahli syurga. Sesiapa yang mengucapkan kalimat ini pada awal malam dalam keadaan yakin dengan isi kandungannya, dia mati sebelum datangnya pagi, dia termasuk dari kalangan ahli syurga.” (HR al-Bukhari)
2.       Daripada Abu Musa al-Asy’ari, bahawa Nabi Sallallahu ‘alaih wa sallam sentiasa berdoa (beristighfar) dengan doa ini:
رَبِّ اغْفِرْ لِي خَطِيئَتِي وَجَهْلِي وَإِسْرَافِي فِي أَمْرِي كُلِّهِ وَمَا أَنْتَ أَعْلَمُ بِهِ مِنِّي اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي خَطَايَايَ وَعَمْدِي وَجَهْلِي وَهَزْلِي وَكُلُّ ذَلِكَ عِنْدِي اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي مَا قَدَّمْتُ وَمَا أَخَّرْتُ وَمَا أَسْرَرْتُ وَمَا أَعْلَنْتُ أَنْتَ الْمُقَدِّمُ وَأَنْتَ الْمُؤَخِّرُ وَأَنْتَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
Mafhumnya: “Tuhanku, ampunilah kesalahanku, kejahilanku, kemelampauan dalam urusanku keseluruhannya, apa yang Engkau Lebih Mengetahui tentangnya dariku. Ya Allah ampunilah kesalahanku secara sengaja, jahil atau bermain-main dan kesemuanya sekali. Ya Allah ampunilah daku, apa-apa yang telah lalu dan akan datang, yang tersembunyi dan nyata, sesungguhnya Engkau yang Terdahulu dan Terakhir, dan Engkau Maha Berkuasa atas setiap sesuatu.” (HR al-Bukhari dan Muslim)
3.      Daripada Ibn ‘Umar Radhiyallahu ‘anhuma yang berkata: “Sesungguhnya kami pernah mengira Rasulullah Sallallah ‘alaih wa sallam dalam satu majlis membaca:
رَبِّ اغْفِرْ لِيْ وَتُبْ عَلَيَّ إنَّكَ أنْتَ التَّوَّابُ الرَّحِيْم
Mafhumnya: “Tuhanku, ampunilah daku, dan berilah taubat kepadaku, sesungguhnya Engkau Maha Penerima Taubat dan Maha Penyayang” sebanyak seratus kali.” (HR al-Tirmizi, Abu Daud dan Ibn Majah)
4.      Daripada Abu Yasar, Nabi Sallallahu ‘alaih wa sallam bersabda: “Sesiapa yang menyebut:
أسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْم الَّذِيْ لَا إِلهَ إلَّا هُوَ الْحَيَّ الْقَيُّوْمَ وَأتُوْبُ إلَيْهِ
Mafhumnya: “Daku memohon keampunan daripada Allah yang Maha Agung, yang tidak ada tuhan yang disembah melainkan Dia yang Maha Hidup dan Maha Berdiri Sendiri, dan daku bertaubat kepadaNya.” Akan diberi keampunnan kepadanya, sekalipun dia telah dari dari peperangan.” (HR al-Tirmizi dan Abu Daud)
5.      Daripada Abu Bakr al-Siddiq Radhiyallahu ‘anhu yang berkata kepada Rasulullah Sallallahu ‘alaih wa sallam: “Ajarkan kepada saya satu doa untuk saya berdoa dengannya di dalam solat saya. Jawab Baginda, bacalah:
اللّهُمَّ إنِّيْ ظَلَمْتُ نَفْسِيْ ظُلْماً كَثِيْراً وَلَا يَغْفِرُ الذُّنُوْبَ إلَّا أنْتَ فَاغْفِرْ لِيْ مَغْفِرَةً مِنْ عِنْدِكَ وَارْحَمْنِيْ إنَّكَ أنْتَ الْغَفُوْرُ الرَّحِيْم
Mafhumnya: Ya Alah, sesungguhnya daku telah banyak menzalimi diriku, tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Engkau, oleh kerana itu, ampunilah daku dengan keampunan dari sisiMu, dan rahmatilah daku, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dan Maha Penyayang.” (HR al-Bukhari dan Muslim) 

Selain itu, saya juga menasihati kita semua agar sentiasa bersabar dalam setiap keadaan di samping terus berdoa kepadaNya. Sesungguhnya takdir atau ketentuan Allah SWT itu adalah baik kesemuanya sekalipun jika kita tidak dikurniakan walau seorang anak. Maka bersabar dalam ujian seperti ini adalah lebih baik. Barangkali tidak dikurniakan anak itu adalah lebih baik untuk kita berbanding dikurniakan anak. Sesungguhnya setiap ketentuan Allah SWT itu dipenuhi dengan kebijaksanaan, ia termasuk di dalam kehendak Allah SWT jua. Allah SWT berfirman:

Mafhumnya: “kepunyaan Allah-lah kerajaan langit dan bumi, Dia menciptakan apa yang Dia kehendaki. Dia memberikan anak-anak perempuan kepada siapa yang Dia kehendaki dan memberikan anak-anak lelaki kepada siapa yang Dia kehendaki,   atau Dia menganugerahkan kedua jenis laki-laki dan perempuan (kepada siapa) yang dikehendaki-Nya, dan Dia menjadikan mandul siapa yang Dia kehendaki. Sesungguhnya Dia Maha mengetahui lagi Maha Kuasa.” (Syura: 49-50)

Wallahu a’lam