Khamis, 25 Oktober 2012

D'Stall Corner, Kelana Jaya.(Liverpool)

Kepada Penyokong Sejati LIVERPOOL di Malaysia atau dimana-mana saja yang belum pernah ke ANFIELD..tapi teringin sangat nak rasai suasana seperti di ANFIELD sila jejakkan kaki ke D'Stall Corner Restaurant & Café di Kelana Jaya..Anda pasti tak menyesal!

* Restoran ini pernah dikunjungi oleh Jalan-Jalan Cari Makan a.k.a. JJCM @ TV3 ketika dihoskan oleh Iqram Dinzly

* You Are Not real 'The Kop' until you came here...'WAJIB' datang!


THE KOP..tempat anda disini..



100% Liverpool..semua menu ada..Order je Bayar Sendiri..
Semua menu HALAL..YNWA


Jersey Otai semua ada..
Apa tunggu lagi..datang awal untuk dapat seat depan (Grandstand) hehe..

 
 
Rujukan: http://liverpool-malaysia.blogspot.com/2012/10/dstall-corner-kelana-jaya.html

Selasa, 23 Oktober 2012

Adab Dan Zikir Memasuki Tandas

1.      Disunatkan sebelum masuk ke dalam tandas untuk membaca:
بِسْمِ اللهِ، اَللَّهُمَّ إِنِّيْ أَعُوْذُ بِكَ مِنَ اْلخُبُثِ وَاْلخَبَائِثِ
Mafhumnya: “Dengan nama Allah, Ya Allah sesungguhnya daku berlindung denganMu dari syaitan jantan dan betina.” (al-Bukhari dan Muslim dari Anas bin Malik tanpa ada bacaan بِسْمِ اللهِ di awal)

Tambahan lafaz بسم الله di awal bacaan sebelum memasuki tandas terdapat di dalam sebagian riwayat hadis lain. Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani RH berkata: “al-‘Umari telah meriwayatkan hadis ini dari jalan ‘Abd al-‘Aziz bin al-Mukhtar, daripada ‘Abd al-‘Aziz bin Suhaib dengan lafaz perintah:

إذا دخلتم الخلاء فقولوا:

Mafhumnya: “Apabila kamu memasuki tandas, maka bacalah:

بِسْمِ اللهِ، اَللَّهُمَّ إِنِّيْ أَعُوْذُ بِكَ مِنَ اْلخُبُثِ وَاْلخَبَائِثِ

Seterusnya al-Hafiz berkata: “Isnad hadis ini berdasarkan syarat Muslim.” (Fath al-Bari 1/244)

Riwayat ini juga disokong dengan hadis riwayat Ibn Majah dan selainnya dari ‘Ali RA secara Marfu’:

سِتْرُ مَا بَيْنَ اْلجِنِّ وَعَوْرَاتِ بَنِيْ آدَم إِذَا دَخَلَ الْخَلَاءَ أَنْ يَقُوْلَ: بِسْمِ اللهِ

Mafhumnya: “Pelindung antara jin dan aurat anak Adam apabila masuk ke dalam tandas, ialah dengan dia membaca; بِسْمِ اللهِ.” (Ibn Majah. Kata al-Syeikh ‘Abd al-Razak bin ‘Abd al-Muhsin al-Badr: Hadis ini Sahih dengan himpunan jalan-jalannya. Lihat juga Irwa’ al-Ghalil oleh al-Albani)

2.      Menjauhi dari pandangan orang lain. (Abu Daud. Dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam Sahih Abi Daud)
3.      Tidak menyingkap pakaian, melainkan setelah menghampiri tanah. (Abu Daud. Dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam al-Silsilah)
4.      Berselindung dari pandangan orang ramai. (Muslim)
5.      Menjauhi buang air dari laluan orang ramai. (Muslim)
6.      Tidak menghadap atau membelakangi Kiblat dan tidak mensucikan najis dengan tangan kanan. Demikian juga, jika beristinjak, tidak mengurangkan bilangan sapuan istinjak kurang dari tiga kali dan tidak beristinjak menggunakan najis kering dan tulang. (Muslim dan lain-lain)
7.      Berjaga-jaga dari terkena percikan najis samada pada pakaian atau tubuh badan. (al-Bukhari dan Muslim)
8.      Tidak berkata-kata ketika membuang air, demikian juga tidak menyibukkan diri dengan zikir dan doa. Hal ini demikian kerana Nabi SAW tidak menjawab salam yang diberikan kepada beliau ketika membuang air, sedangkan salam adalah termasuk di dalam zikir dan doa.
9.      Adapun bacaan ketika keluar dari tandas, berdasarkan hadis dari ’Aisyah RA yang berkata: ”Adalah Nabi SAW, apabila keluar dari tandas baginda membaca:
غُفْرَانَكَ
Mafhumnya: “KeampunanMu.”[1]


[1] Dikatakan permohonan ampun ketika keluar dari tandas kerana bimbang terkurang dalam bersyukur kepada Allah di atas nikmat yang dikurniakan terdiri dari kurniakan makanan, penghadaman seterusnya memudahkan pembuangan najis.

Rabu, 3 Oktober 2012

Cerpen: Tiada Henti

“Akhi, boleh tak kalau kita berhenti daripada ikut halaqoh sekejap?”
Darah saya menyirap.
‘Dia nak keluar halaqoh ke?’


Macam tidak percaya

Saya menyangka perjalanan hari ini cukup dengan masalah menguruskan penyelesaian borang ‘Submission of Progress Report’ dan ‘Submision for Symposium’ untuk evaluasi master saya sahaja. Setiap semester pelajar pascasiswazah di UTP akan dievaluasi melalui sesi simposium. Simposium adalah suatu sesi di mana seluruh perkembangan sepanjang semester akan dibentangkan dan dievaluasi oleh dua orang, seorang pensyarah sebagai pemeriksa dan seorang lagi adalah penyelia pelajar pascasiswazah tersebut.

Rupanya Allah SWT berkehendak supaya saya memikirkan sesuatu perkara yang lebih besar pada tengah hari ini.

“Biar betul dia cakap macam itu?”
“Betullah, dia tanya pada ana dalam dua hari lepas.”
Berhenti daripada halaqoh. Buat seketika? Itu bermaksud tidak hadir ke halaqoh. Dan ketika tidak hadir, saat itu seseorang tidak diperingatkan dengan ayat-ayat Al-Quran mahupun hadis yang kembali menyuburkan keinginan kita untuk terus beriman. Untuk terus dekat dengan Allah SWT.
“Jadi, apa yang antum jawab?”
“Ana tanya dia semula, kenapa dia cakap macam itu?”
“Dia rasa berat?” Saya menduga.
Dan ikhwah yang seorang ini mengangguk. Dan saya kembali memuhasabah. Nampaknya saya perlu lebih mengenali mad’u-mad’u saya. Mungkin saya masih belum cukup memberi pemahaman kepadanya tentang bagaimana kita perlu menyikapi perjalanan dakwah ini.
“Mungkin antum terlalu cepat memberi beban kepadanya? Sekarang dia sudah mula menguruskan beberapa lajnah.”
“Wallahua’lam akh. Ana perlu lebih bermuhasabah. Kita Cuma mahukan yang terbaik daripada ikhwah-ikhwah yang kita tarbiyah. Pertimbangan kita, jika dia diberi tugasan-tugasan yang ringan seperti itu, mula dilibatkan dalam gerak kerja dakwah, dia akan semakin merasa memiliki dan merasakan kebersamaannya dengan dakwah ini.”
“Ya, mungkin ringan dalam pandangan kita, tapi belum tentu ringan dalam pandangan dia. Fiqh dakwah itukan salah satunya bertahap dalam memberi beban. Tapi, bukan semua orang sama. Lain orang, lain kemampuannya.”
“Betul. Jadi, apa yang antum sampaikan kepadanya?”
“Ana cuma kata, jalan dakwah ini memang penuh cabaran. Macam expedisi mendaki gunung. Mula-mula ramai-ramai seronok hendak mendaki. Semua tidak sabar-sabar. Segala beg dan peralatan lain tidak terasa beratnya. Bila mula mendaki, badan akan menjadi semakin letih, stamina pun semakin berkurang. Beban yang dipikul tadi sudah semakin terasa beratnya. Semua akan mula tertanya-tanya, bila kita akan sampai di puncak? Jauh lagikah? Di saat ini akan semakin ramai orang yang merasakan dirinya tidak mampu dan ramai yang tidak mahu meneruskan perjalanan. Hanya orang yang sabar sahaja akan mampu bertahan.”
“Macam pernah dengar sahaja perumpamaan ini?” Saya senyum senget.
“Memanglah, antum yang cerita dalam halaqoh dulu.” Dia kembali membalas senyuman.
“Jadi, dia faham?”
“Insya-Allah. Ana ingatkan dia supaya dekatkan diri dengan Allah. Bila ingat Allah, hati tenang. Ana beri surah Ar-Ra’du ayat 28.”
“Bagus. Harapnya dia stabil sekarang. Insya-Allah ana akan cuba berikan pemahaman dalam halaqoh minggu ini. Tolong doakan ya akh.”
“Insya-Allah. Cuma akh, ana tengok fenomena ini bukan hanya berlaku kepada orang yang baru-baru ikut dakwah.”
“Maksud antum?”
“Baru-baru inikan ada seorang akhwat minta berehat daripada dakwah. Dengarnya sebelum kejadian, dia memang bersemangat dalam gerak kerja dakwahnya.”
“Oh, cerita itu? Terbaru, dia meminta untuk berehat lebih lama. Dulunya niat hendak berehat seketika untuk menajamkan kapak. Supaya bila kapak dah tajam, boleh menebang pokok dengan lebih mudah, bekerja dengan lebih baik. Tapi ana nampak itu silap.”
“Silap?”
“Kalau memang kita merasakan dakwah yang kita buat ini berat, itu memang wajar. Terasa kita seolah-olah tidak tahu bagaimana mahu memikul kerja-kerja dakwah yang diamanahkan kepada kita ini. Namun, penyelesaiannya bukan dengan menyindiri tidak datang halaqoh dan tidak berdakwah. ‘An idle mind is the devil’s workshop.’
“Dah keluar proverb pula ikhwah master kita ini. “ Nadanya mengusik. Saya hanya tersengih.
"Apabila kita tidak menyibukkan akal fikiran kita dengan kebaikan, ia pasti akan disibukkan oleh syaitan untuk memikirkan apa sahaja alasan supaya kita selepas ini tidak lagi bersama dengan dakwah. Syaitan akan kata,
‘Lebih baik kau fokus belajar. Pencapaian yang cemerlang juga dakwah.’
‘Sebagai pelajar, tanggungjawab utama kau adalah belajar dan cemerlang dalam pelajaran. Kalau tidak akan jadi fitnah. Tercemar nama Islam.’
“Dan macam-macam lagi. Semuanya terdengar seperti alasan yang munasabah, tetapi natijahnya tetap buruk.”
“Jadi, antum hendak katakan yang perumpamaan menajamkan kapak itu tidak boleh dipakailah?”
“Perumpamaan itu betul, cuma si akhwat ini salah dalam mengaplikasikannya.”
“Maksud antum?” si ikhwah bertanya dengan wajah berkerut.
“Si penebang pokok itu berhenti sebentar untuk menajamkan kapak. Bukannya dia berhenti menebang pokok. Ketika berhenti, dia masih ‘bekerja’. Kerjanya adalah menajamkan kapak. Supaya momentumnya untuk menebang pokok selepas ini akan semakin besar.”
Saya menghela nafas. Dia kelihatan menanti-nanti kata-kata saya yang seterusnya.
“Untuk kes tadi, sepatutnya dia berbincang dengan murobbiyah, kongsikan apa yang sebenarnya dia alami dan cuba mencari penyelesaian bersama-sama. Bukan terus membuat keputusan, meminta untuk berehat. Masalah merasa berat dan terbeban ini, bukan kita sahaja yang hadapi. Bahkan Rasulullah SAW dan para sahabatnya juga mengalami. Ujian mereka jauh lebih dahsyat. Sehingga Allah menukilkan penyataan mereka,
Apakah kamu mengira bahwa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu cubaan sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cobaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: "Bilakah datangnya pertolongan Allah?" Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat.
[Q.S. Al-Baqarah, 2:214]
“Tetapi mereka mengambil langkah yang benar. Mereka menajamkan 'kapak' mereka dengan mendekatkan diri kepada Allah. Mencari Allah. Dengan Allah di sisi, tiada apa yang berat. Bilal sanggup disiksa sehingga hampir mati. Khabbab bin Arrat sanggup diseret di atas bara api. Kerana mereka ada Allah. Mereka yakin yang pertolongan Allah itu dekat. Mereka yakin yang mereka bukan hanya hidup di dunia. Mereka yakin, tempat berehat itu adalah di syurga kelak.”
“Betul. Antum betul. Doakan ana juga agar ana tetap kekal di atas jalan ini akh. Ana pun kena banyak memuhasabah diri.”
“Sama-samalah kita mendoakan. Ana yang lebih tua ini, tentu lebih perlu bermuhasabah.”
Dakwah dan tarbiyah.
Sama ada kita berjaya melihat puncaknya, atau kita mati dalam perjalanan menujunya.
Dan tiada kata henti sebelum menemui salah satu daripada keduanya.
Baik seketika apatah lagi untuk selamanya.
 
 ~End Of Post~

Selasa, 2 Oktober 2012

BACAAN KETIKA MENZIARAHI ORANG SAKIT

BACAAN KEPADA ORANG SAKIT
Islam memberi perhatian terhadap orang sakit dengan menganjurkan amalan menziarahi dan berdoa untuk kesembuhan mereka. Untuk itu Islam mengajarkan beberapa doa yang boleh dibaca ketika menziarahi mereka. Semua ini bagi mempraktikkan persaudaraan Islam, dimana kegembiraan dan susah payah dikongsi bersama. Di dalam Sahih al-Bukhari dan Muslim daripada al-Nu’man bin Basyir RA yang berkata, Nabi SAW bersabda: 
مَثَلُ الْمُؤْمِنِينَ فِي تَوَادِّهِمْ وَتَرَاحُمِهِمْ وَتَعَاطُفِهِمْ مَثَلُ الْجَسَدِ إذَا اشْتَكَى منه عضو تَدَاعَى لَهُ سَائِرُ الْجَسَدِ بِالسَّهَرِ وَالْحُمَّى
Mafhumnya: ”Perumpamaan orang-orang yang beriman itu dalam kelunakan, berkasih-sayang dan berlemah-lembut sesama mereka seperti tubuh yang satu, jika satu anggota sakit, seluruh jasad akan turut terasa demam dengan berjaga malam.” (HR al-Bukhari dan Muslim)
Antara bacaan-bacaan tersebut adalah seperti berikut:
1.      Daripada Ibn ’Abbas RA, Nabi SAW pernah menziarahi seorang Arab Badwi, beliau berkata: ”Nabi SAW apabila menziarahi orang sakit akan berkata:
لَا بَأْسَ، طَهُوْرٌ إِنْشَاءَ اللهُ
Mafhumnya:  “Tiada mengapa, sebagai pembersih[1] insyaAllah.” (apabila baginda mengucapkannya kepada Arab Badwi tersebut), jawab Arab itu: “Anda kata semoga menjadi pembersih? Sama sekali tidak, bahkan ia merupakan panas badan yang merebak pada seorang tua yang akan membawa dia menziarahi kubur.” Jawab baginda SAW: “Kalau begitu demikianlah.”
2.      Daripada Ummi al-’Ala (أم العلاء) RA yang berkata: “Rasulullah SAW pernah menziarahiku yang sedang sakit, lalu baginda bersabda: “Terimalah khabar gembira wahai Umm al-‘Ala, kerana sesungguhnya sakit seseorang muslim itu, Allah akan menghilangkan dengannya kesalahan-kesalahannya, sepertimana api menghilangkan kotoran emas dan perak.” (HR Abu Daud. Dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam Sahih al-Targhib)

Termasuk dari adab yang perlu diperhatikan ketika menziarahi pesakit ialah memilih waktu yang sesuai. Hal ini kerana tujuan disyariatkan menziarahi pesakit ialah untuk mendatangkan kegembiraan dan menyenangkan hati pesakit, bukan untuk mendatangkan kesukaran dan kesempitan dari mereka. Demikian juga jangan memanjangkan masa bersama dengannya melainkan jika sipesakit sendiri yang menghendakinya.

3.      Bagi orang yang menziarahi pesakit dianjurkan dia berada berhampiran dengan kepala pesakit. Di dalam al-Adab al-Mufrad, daripada Ibn ’Abbas RA yang berkata: ”Dahulunya Rasulullah SAW apabila menziarahi orang sakit, baginda akan duduk berhampiran kepalanya, kemudian baginda mengucapkan sebanyak tujuh kali:
أَسْأَلُ اللهَ الْعَظِيْمَ، رَبَّ الْعَرْشِ الْعَظِيْم أَنْ يَشْفِيَكَ
 Mafhumnya: “Daku memohon kepada Allah Yang Maha Agung, Tuhan kepada ‘Arasyh yang agung, untuk Dia menyembuhkanmu.” (al-Adab al-Mufrad. Dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam Sahih al-Adab al-Mufrad)

4.      Termasuk di dalam sunnah meletakkan tangan di atas tubuh orang yang sakit ketika hendak berdoa untuknya. Di dalam Sahih al-Bukhari dan Muslim diriwayatkan ketika Nabi SAW menziarahi Sa’ad bin Abi Waqqas RA, baginda meletakkan tangan baginda dahi Sa’ad, kemudian baginda menyapu tangan baginda ke muka dan perut Sa’ad sambil membaca:
اللّهُمَّ اشْفِ سَعْدًا
Mafhumnya: “Ya Allah, sembuhkanlah Sa’ad” (al-Bukhari dan Muslim)
5.      Orang yang menziarahi pesakit juga dianjurkan berdoa dengan ikhlas kepada pesakit dan jangan memperkatakan sesuatu melainkan perkara-perkara yang baik sahaja. Daripada Umm Salamah RA yang berkata: ”Baginda Rasulullah SAW bersabda: ”Apabila kamu semua menziarahi orang sakit atau orang yang meninggal dunia, maka ucapkanlah perkara-perkara yang baik. Kerana sesungguhnya para Malaikat akan mengaminkan apa yang kamu semua katakan.” (HR Muslim)

Kita dibernarkan untuk memilih sebarang bentuk doa, dan yang terbaik ialah doa yang datang dari Nabi SAW.

6.      Daripada ’Aisyah RA yang berkata: ”Dahulunya Nabi SAW, jika ada seseorang ditimpa sakit atau terluka, baginda akan melakukan begini – lalu Sufian (periwayat hadis) meletakkan jari telunjuk beliau ke tanah, kemudian mengangkatnya – dan membaca:

بِسْمِ اللهِ تُرْبَةُ أَرْضِنَا، بِرِيْقَةِ بَعْضِنَا، يُشْفَى سَقِيْمُنَا، بِإِذْنِ رَبِّنَا

Mafhumnya: “Dengan nama Allah, ini sebahagian dari tanah bumi kami, dengan sedikit air liur kami, (semoga) diberi kesembuhan kepada orang yang sakit di kalangan kami dengan izin tuhan kami.” (HR al-Bukhari dan Muslim)
al-Imam al-Nawawi ketika menyarahkan hadis ini berkata:
ومعنى الحديث أن يأخذ من ريق نفسه على أصبعه السبابة ، ثم يضعها على التراب ليتعلق بها شيء منه ، فيمسح به على الموضع العليل أو الجريح ، ويقول هذا الكلام في حال المسح
Maksudnya: “Hadis ini bermaksud baginda mengambil sedikit air liur baginda dengan jari telunjuk, kemudian meletakkannya ke atas tanah agar tanah melekat sedikit pada jari telunjuk itu, seterusnya menyapukannya ke tempat sakit atau luka, baginda membaca perkataan tersebut ketika melakukan sapuan.”
Pernah juga ditanya kepada al-Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaiman RH: “Di dalam fatwa, tuan ada menyatakan mengambil berkat dengan air liur selain dari Nabi SAW adalah haram dan termasuk di dalam syirik, kecuali jampi dengan ayat al-Quran. Perkara ini menimbulkan tanda-tanya kerana terdapat di dalam Sahih al-Bukhari dan Muslim hadis dari ‘Aisyah RA, yang menceritakan bahawa Nabi SAW pernah menyebut di dalam jampi baginda: “Dengan nama Allah, ini sebahagian dari tanah bumi kami, dengan sedikit air liur kami, (semoga) diberi kesembuhan kepada orang yang sakit di kalangan kami dengan izin tuhan kami.” Kami mengharapkan dari yang berbahagian tuan untuk memberi penjelasan.”
Jawapan al-Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin:
ذكر بعض العلماء أن هذا مخصوص برسول الله صلى الله عليه وسلم وبأرض المدينة فقط وعلى هذا فلا إشكال. ولكن رأي الجمهور أن هذا ليس خاصّاً برسول الله صلى الله عليه وسلم ولا بأرض المدينة بل هو عام في كل راقٍ وفي كل أرضٍ، ولكنه ليس من باب التبرك بالريق المجرد بل هو ريق مصحوب برقية وتربة للاستشفاء وليس لمجرد التبرك.وجوابنا في الفتوى السابقة هو التبرك المحض بالريق وعليه فلا إشكال لاختلاف الصورتين.

Maksudnya: “Sebahagian ulama menyebut hadis ini khusus untuk Rasulullah SAW dan khusus untuk tanah Madinah sahaja, jika berdasarkan pendapat ini maka tidak timbul masalah. Akan tetapi kebanyakan ulama berpandangan hadis ini tidak dikhususkan untuk Rasulullah SAW dan bukan juga khusus untuk tanah Madinah sahaja, bahkan ia umum untuk semua air liur dan semua tanah, akan tetapi ia tidak termasuk mengambil berkat hanya dengan air liur, sebaliknya dengan air liur beserta dengan  jampi dan tanah untuk memohon kesembuhan, bukan semata-mata mengambil berkata. Jawapan kami dalam fatwa yang lalu iaitulah tentang mengambil berkat semata-mata dengan air liur tidak menimbulkan masalah kerana berbeza keadaan.” (Majmuk Fatawa wa Rasail al-Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin, Jilid pertama)  


[1] Membersihkan dari semua kesalahan dosa.