Sejak sekian lama, kini perjuangan kita seperti ketiadaan "umph".
Bertugas dan bekerja dengan hambar. Terkadang dihambat rasa letih dan
bosan. Dahulu perjuangan ini segar dengan ruh amal Islami dan diperkaya
pula dengan pelbagai istilah dan gerak kerja amal jama'ie, amal fardhi
dan amal ijtimaei. Saya
masih ingat, selain usrah saban minggu, jamaah kita hebat dengan tamrin
di penghujung bulan dan 2 atau 3 kali dalam setahun akan ada aktiviti
rehlah dan mukhayyam, namun segalanya kini hanyalah menjadi kenangan
manis. Tiada lagi qiamulail dan muhasabah perjuangan di waktu dinihari,
bimbingan sang murabbi yang diberikan thiqah dan wala' tidak berbelah
bahagi.
Ukhuwwah cukup erat dan intim. Sering sahabat
seperjuangan menyapa kita dengan, "Ana uhibbuka fillah yaa akhi..."
sebaik memberi salam dan berpelukan menemukan pipi-pipi merah yang
menahan getir perjuangan ini. Ziarah dan bertanya khabar menjadi rutin
yang cukup halus kesannya kepada kita sesama jamaah. Menangis kita
apabila mendapat khabar sahabat seperjuangan sakit atau ditimpa musibah.
Cepat
kita menolak segala tohmahan yang cuba dilemparkan kepada sahabat
seperjuangan. Nilai ukhuwwah antara kita sungguh mantap. Tak siapa mampu
merobeknya dan tak mungkin lahir perasaan cemburu antara kita. Manakan
tidak. Makan setalam, tidur sebantal dan musafir sekenderaan, bersulam
doa rabithah yang diaminkan bersama sejurus selesai melazimi wirid al
ma'thurat saban pagi dan petang.
Buku-buku haraki sentiasa di
tangan, sementara bibir pula rajin melazimi usul isyrin agar lancar di
lidah sesudah dihafal untuk menjadi kaedah dalam berjuang menyelesaikan
kekusutan berfikrah. Tugasan dakwah dilaksana penuh dedikasi sebaik
sahaja menghabisi kertas kerja dan amanat pimpinan dalam
pertemuan-pertemuan bulanan seperti Liqa' Fikri atau seminar penerangan.
Semangat
jihad berkobar-kobar, merasakan setiap gerakkerja jamaah biarpun di
medan siasah adalah ibadah yang menghasilkan pahala. Ceramah para
pimpinan banyak berkisar erti perjuangan atau pemantapan aqidah dan
akhirnya baharulah disudahi dengan perkembangan isu semasa. Audien
menerima secara seimbang antara kesedaran isu semasa dengan fikrah dan
aqidah perjuangan.
Timbul masalah, segera kita cari naqib atau
terus kepada pimpinan untuk mengatasinya. Masing-masing menutup masalah
dan aib saudara masing-masing kerana mengutamakan kekuatan jamaah dan
tugas perjuangan yang lebih besar. Cepat melupakannya serta segera
memaafkan. Masalah tidak menjadi kudis gatal kepada pejuang kerana
ukhuwwah Islamiyyah yang tebal segera merawatnya.
Mesyuarat
dengan penuh mesra. Menghargai pandangan sahabat seperjuangan malah
sering mendahulukan pandangan sahabat dan pimpinan sekalipun kita
mempunyai pandangan yang berbeza. Rasa bangga apabila pandangan
sahabatlah yang diterima dan fikrah perjuangan menjadi seia sekata.
Walau berbeza dan berselisih pandangan sesama sendiri, tidaklah meninggi
suara jauh sekali untuk memperbodohkan sahabat dan pimpinan sendiri.
Mesyuarat menjadi pertemuan yang cukup menyeronokkan malah
dinanti-nanti. Sebulan dirasakan setahun untuk bertemu kembali dengan
sahabat seperjuangan.
Semua itu menjadi "umph" dalam perjuangan
ini. Ia adalah nostalgia indah disemi pula oleh alunan nasyid jihad dan
perjuangan. Sekali sekala asma'ul husna memecah kesunyian dan menjadi
muqaddimah kepada setiap pertemuan dan mesyuarat. Namun, sedihnya hari
ini rasa "umph" itu telah hilang. Zaman semakin canggih malangnya
ukhuwwah semakin dhoif. Berjuang seharian terasa bagai berjalan di atas
bara api. Nak bercakap rasa tak kena, tak bercakap rasa salah. Jumpa
sahabat hanya mengangguk kepala, kalau sempat pun sekadar bersalam
tangan. Rasa sukar untuk mendekap pipi, sebab masing-masing sibuk
memburu waktu entah nak ke mana. Kalau peluk semua ahli mesyuarat,
terpaksa mengambil masa yang agak lama untuk membiasakan. Ada yang rasa
janggal dan geli geleman.
Makan secara layan diri kemudian
berasingan melayan perasaan. Memandang sahabat seperti musuh. Ya, musuh
dan saingan politik kerana kita tidak lagi berjamaah tetapi berpolitik.
Menyertai PAS bukan lagi menyertai "Gerakan Islam" tetapi menyertai
parti politik yang berjuang atas nama Islam.
Hadir mesyuarat
seperti menghadiri parlimen untuk berdebat dengan musuh. Pantang keluar
pandangan berbeza ditingkah segera agar ditarik balik kenyataan layaknya
seperti di parlimen bukan dalam mesyuarat yang penuh kasih dan sayang.
Tidak lagi bermula dengan al ma'thurat dan doa rabithah. Asma'ul Husna
tidak kedengaran langsung. Jiwa menjadi kasar dan keras. Mudah terasa
dan sangat sensitif yang menghela ke arah sengketa.
Adab
bermesyuarat dan mengemuka serta berbeza pandangan telah hilang entah di
dalam buku haraki mana yang tidak lagi dibaca kini. Nak baca macam
mana, usrah pun sudah 5 tahun tidak hadir. Terma-terma jamaah yang
selalu disebut dalam usrah dulunya kini UMNO pula yang pakai kerana kita
telah tidak lagi menggunakannya seperti wehdatul fikri, wehdatul amal
dan sebagainya.
Mesyuarat sebelum mesyuarat, mesyuarat dalam
mesyuarat dan mesyuarat lepas mesyuarat sudah jadi rutin. Akhirnya tidak
tahu keputusan mesyuarat mana sebenarnya yang original dan valid untuk
dilaksanakan sebagai kata putus. Sebab, sebelum masuk mesyuarat, perkara
yang nak dibincangkan sesama kita sahabat seperjuangan sudah dibincang
oleh entah komuniti mana lalu masuk membawa keputusan yang telah
direncanakan. Jika putus sesuatu pula dalam mesyuarat itu, ia seperti
boleh dirombak oleh mesyuarat yang bakal menyusul selepas mesyuarat
tersebut biar pun hanya di kedai kopi.
Memang aneh cara kita
berjamaah di zaman moden ini. Hilang "umph" dan yang timbul ialah rasa
curiga-mencurigai antara satu sama lain. Suasana sentiasa tegang dan
panas. Bila-bila masa boleh mencetus perbalahan. Masing-masing menanti
waktu turning point sebagai masa mahu bertindak. Hati kita menjadi jauh
walau kita sepejabat. Sorotan mata bila memandang sesama kita kering
kontang tanpa nilai ukhuwwah dan kasih mesra. Seperti merenung musuh,
kalau tidak pun seperti menaruh rasa jengkel dan benci sesama kita. Ada
sahaja yang tidak kena dan hati sentiasa tidak puas.
Rasa
hormat sesama kita sahabat seperjuangan semakin pudar semangat khidmat
kepada jamaah juga semakin luntur. Bertindak dalam paksa jangan sampai
orang kata kita tidak buat kerja. Kemanisan dalam melakukan kerja dan
tugas jamaah tidak terasa, kalau pun masih terasa hanya sekadar
manis-manis buah jambu separuh masak atau sekadar manis gula Melaka.
Terma-terma
asas perjuangan Islam seperti jihad, negara Islam, hudud, mukhayyam
tarbawi, usrah, harakah Islamiyyah, naqib, ukhuwwah fiLlah dan lain-lain
kini sukar untuk dilafaz kepada umum. Kalau menyebutnya juga akan
dikatakan tidak bijak, tidak kena timing, keterlaluan, non-Muslim tidak
akan mengundi kita, kolot dan macam-macam lagi sms akan masuk
menempelak. Kini "umph" dalam berjamaah dan berjuang tidak terasa lagi.
Seperti menghirup Tom Yam yang tawar tanpa garam dan rencah. Habis
semangkuk, perut boleh kenyang tetapi "umph"nya tiada. Bagaimanalah kita
nak mengembalikan semula "umph" dalam perjuangan ini?
Harapan
saya, agar pemuda dapat menikmati semula "umph" tersebut. Untuk itu,
pemuda mesti ada "umph" iaitu Usrah Mantap Pemuda Hebat (UMPH).
Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
Link: http://www.tarbawi.my/index.php/soal-jawab/politik-dan-gerakan/275-pemuda-mesti-ada-qumphq
Tiada ulasan:
Catat Ulasan