“Akhi, boleh tak kalau kita berhenti daripada ikut halaqoh sekejap?”
Darah saya menyirap.
‘Dia nak keluar halaqoh ke?’
Macam tidak percaya
Saya menyangka perjalanan hari ini cukup dengan masalah menguruskan penyelesaian borang ‘Submission of Progress Report’ dan ‘Submision for Symposium’
untuk evaluasi master saya sahaja. Setiap semester pelajar
pascasiswazah di UTP akan dievaluasi melalui sesi simposium. Simposium
adalah suatu sesi di mana seluruh perkembangan sepanjang semester akan
dibentangkan dan dievaluasi oleh dua orang, seorang pensyarah sebagai
pemeriksa dan seorang lagi adalah penyelia pelajar pascasiswazah
tersebut.
Rupanya Allah SWT berkehendak supaya saya memikirkan sesuatu perkara yang lebih besar pada tengah hari ini.
“Biar betul dia cakap macam itu?”
“Betullah, dia tanya pada ana dalam dua hari lepas.”
Berhenti daripada halaqoh. Buat seketika? Itu bermaksud tidak hadir ke
halaqoh. Dan ketika tidak hadir, saat itu seseorang tidak diperingatkan
dengan ayat-ayat Al-Quran mahupun hadis yang kembali menyuburkan
keinginan kita untuk terus beriman. Untuk terus dekat dengan Allah SWT.
“Jadi, apa yang antum jawab?”
“Ana tanya dia semula, kenapa dia cakap macam itu?”
“Dia rasa berat?” Saya menduga.
Dan ikhwah yang seorang ini mengangguk. Dan saya kembali memuhasabah.
Nampaknya saya perlu lebih mengenali mad’u-mad’u saya. Mungkin saya
masih belum cukup memberi pemahaman kepadanya tentang bagaimana kita
perlu menyikapi perjalanan dakwah ini.
“Mungkin antum terlalu cepat memberi beban kepadanya? Sekarang dia sudah mula menguruskan beberapa lajnah.”
“Wallahua’lam akh. Ana perlu lebih bermuhasabah. Kita Cuma mahukan yang
terbaik daripada ikhwah-ikhwah yang kita tarbiyah. Pertimbangan kita,
jika dia diberi tugasan-tugasan yang ringan seperti itu, mula dilibatkan
dalam gerak kerja dakwah, dia akan semakin merasa memiliki dan
merasakan kebersamaannya dengan dakwah ini.”
“Ya, mungkin ringan dalam pandangan kita, tapi belum tentu ringan dalam
pandangan dia. Fiqh dakwah itukan salah satunya bertahap dalam memberi
beban. Tapi, bukan semua orang sama. Lain orang, lain kemampuannya.”
“Betul. Jadi, apa yang antum sampaikan kepadanya?”
“Ana cuma kata, jalan dakwah ini memang penuh cabaran. Macam expedisi
mendaki gunung. Mula-mula ramai-ramai seronok hendak mendaki. Semua
tidak sabar-sabar. Segala beg dan peralatan lain tidak terasa beratnya.
Bila mula mendaki, badan akan menjadi semakin letih, stamina pun semakin
berkurang. Beban yang dipikul tadi sudah semakin terasa beratnya. Semua
akan mula tertanya-tanya, bila kita akan sampai di puncak? Jauh
lagikah? Di saat ini akan semakin ramai orang yang merasakan dirinya
tidak mampu dan ramai yang tidak mahu meneruskan perjalanan. Hanya orang
yang sabar sahaja akan mampu bertahan.”
“Macam pernah dengar sahaja perumpamaan ini?” Saya senyum senget.
“Memanglah, antum yang cerita dalam halaqoh dulu.” Dia kembali membalas senyuman.
“Jadi, dia faham?”
“Insya-Allah. Ana ingatkan dia supaya dekatkan diri dengan Allah. Bila
ingat Allah, hati tenang. Ana beri surah Ar-Ra’du ayat 28.”
“Bagus. Harapnya dia stabil sekarang. Insya-Allah ana akan cuba berikan
pemahaman dalam halaqoh minggu ini. Tolong doakan ya akh.”
“Insya-Allah. Cuma akh, ana tengok fenomena ini bukan hanya berlaku kepada orang yang baru-baru ikut dakwah.”
“Maksud antum?”
“Baru-baru inikan ada seorang akhwat minta berehat daripada dakwah.
Dengarnya sebelum kejadian, dia memang bersemangat dalam gerak kerja
dakwahnya.”
“Oh, cerita itu? Terbaru, dia meminta untuk berehat lebih lama. Dulunya
niat hendak berehat seketika untuk menajamkan kapak. Supaya bila kapak
dah tajam, boleh menebang pokok dengan lebih mudah, bekerja dengan lebih
baik. Tapi ana nampak itu silap.”
“Silap?”
“Kalau memang kita merasakan dakwah yang kita buat ini berat, itu memang
wajar. Terasa kita seolah-olah tidak tahu bagaimana mahu memikul
kerja-kerja dakwah yang diamanahkan kepada kita ini. Namun,
penyelesaiannya bukan dengan menyindiri tidak datang halaqoh dan tidak
berdakwah. ‘An idle mind is the devil’s workshop.’
“Dah keluar proverb pula ikhwah master kita ini. “ Nadanya mengusik. Saya hanya tersengih.
"Apabila kita tidak menyibukkan akal fikiran kita dengan kebaikan, ia
pasti akan disibukkan oleh syaitan untuk memikirkan apa sahaja alasan
supaya kita selepas ini tidak lagi bersama dengan dakwah. Syaitan akan
kata,
‘Lebih baik kau fokus belajar. Pencapaian yang cemerlang juga dakwah.’
‘Sebagai pelajar, tanggungjawab utama kau adalah belajar dan
cemerlang dalam pelajaran. Kalau tidak akan jadi fitnah. Tercemar nama
Islam.’
“Dan macam-macam lagi. Semuanya terdengar seperti alasan yang munasabah, tetapi natijahnya tetap buruk.”
“Jadi, antum hendak katakan yang perumpamaan menajamkan kapak itu tidak boleh dipakailah?”
“Perumpamaan itu betul, cuma si akhwat ini salah dalam mengaplikasikannya.”
“Maksud antum?” si ikhwah bertanya dengan wajah berkerut.
“Si penebang pokok itu berhenti sebentar untuk menajamkan kapak.
Bukannya dia berhenti menebang pokok. Ketika berhenti, dia masih
‘bekerja’. Kerjanya adalah menajamkan kapak. Supaya momentumnya untuk
menebang pokok selepas ini akan semakin besar.”
Saya menghela nafas. Dia kelihatan menanti-nanti kata-kata saya yang seterusnya.
“Untuk kes tadi, sepatutnya dia berbincang dengan murobbiyah, kongsikan
apa yang sebenarnya dia alami dan cuba mencari penyelesaian
bersama-sama. Bukan terus membuat keputusan, meminta untuk berehat.
Masalah merasa berat dan terbeban ini, bukan kita sahaja yang hadapi.
Bahkan Rasulullah SAW dan para sahabatnya juga mengalami. Ujian mereka
jauh lebih dahsyat. Sehingga Allah menukilkan penyataan mereka,
Apakah kamu mengira bahwa kamu akan masuk syurga, padahal belum
datang kepadamu cubaan sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum
kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta
digoncangkan (dengan bermacam-macam cobaan) sehingga berkatalah Rasul
dan orang-orang yang beriman bersamanya: "Bilakah datangnya pertolongan
Allah?" Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat.
[Q.S. Al-Baqarah, 2:214]
“Tetapi mereka mengambil langkah yang benar. Mereka menajamkan 'kapak'
mereka dengan mendekatkan diri kepada Allah. Mencari Allah. Dengan Allah
di sisi, tiada apa yang berat. Bilal sanggup disiksa sehingga hampir
mati. Khabbab bin Arrat sanggup diseret di atas bara api. Kerana mereka
ada Allah. Mereka yakin yang pertolongan Allah itu dekat. Mereka yakin
yang mereka bukan hanya hidup di dunia. Mereka yakin, tempat berehat itu
adalah di syurga kelak.”
“Betul. Antum betul. Doakan ana juga agar ana tetap kekal di atas jalan ini akh. Ana pun kena banyak memuhasabah diri.”
“Sama-samalah kita mendoakan. Ana yang lebih tua ini, tentu lebih perlu bermuhasabah.”
Dakwah dan tarbiyah.
Sama ada kita berjaya melihat puncaknya, atau kita mati dalam perjalanan menujunya.
Dan tiada kata henti sebelum menemui salah satu daripada keduanya.
Baik seketika apatah lagi untuk selamanya.
~End Of Post~
.....cuma kuatkah kita utk terus berdiri di atas landasan itu?
BalasPadamSubhanallah.La hawla wala quwwata illa billah.Jgn pernh mengalah.x kn berputus asa seseorg kecuali kaum y kafir ..Terima kasih.
BalasPadamkadang2 kita perlu berehat, tetapi kena lah pada caranya.
BalasPadamberehat dalam melakukan kerja =p