Rabu, 30 Mei 2012
Sejarah pembukaan Constantinople
Sultan Muhammad II adalah pembuka kota Constantinaple yang kini dipanggil Istanbul di Turki. Beliau adalah adalah sultan dibawah pemerintahan Kerajaan Turki Uthmaniyyah. Constantinaple yang terletak di antara benua Eropah dan Asia adalah ibu negara Empayar Byzantium yang beragama Kristian Ortodox. selatannya ada Laut Marmara, utaranya pula ada teluk Golden Horn. timurnya ada Selat Bosphorus yang menghubungkan Laut Mediterranean dan Laut Hitam. Manakala baratnya ada Bulgaria dan Greece. 3 daripada empat sempadannya ialah air.
Constantinople dipertahankan dengan benteng Theodosius yang mempunyai tiga lapisan. Benteng ini bertujuan untuk pertahankan Constantinople daripada tentera Islam Uthmaniyyah yang ada di Bulgaria, Serbia dan Turki. Tentera Islam yang pertama dipimpin oleh Muawwiyah bin Abu Sufyan pada zaman khilafah Ummaiyah ke kota itu. Mereka tewas ditangan Byzantium. Kemudian percubaan demi percubaan untuk menawan dan menakluki kota Constantinople sehingga Sultan Murad II bapa kepada Sultan Muhammad II juga tewas di Constantinople lebih setengah abad kemudian.
Sultan Muhammad II adalah seorang mujahid yang berani dan bercita-cita tinggi untuk membuktikan kebenaran hadis Rasulullah : “Rasulullah SAW bersabda: Kamu akan pasti membebaskan Constantinople, sebaik-baik pemimpin adalah pemimpinnya dan sebaik-baik tentera adalah tenteranya.” (riwayat Imam Ahmad)
Baginda mula menjadi sultan ketika belau masih remaja iaitu dalam lingkungan belasan tahun. Baginda tidak pernah tinggalkan solat rawatib dan solat tahajjud serta dan semestinya solat fardu sejak baligh. Baginda mengisi dirinya dan tenteranya ilmu. Baginda mula menyusun taktik untuk menyerang dengan efisyen mantap dan berpotensi tinggi untuk berjaya. Baginda juga membuat persediaan material dengan membebaskan Urban daripada tahanan Byzantium. Baginda menyuruh beliau membuat meriam yang besar dan boleh menembak daripada jarak yang jauh. Constantinople juga membuat persediaan. Antaranya, membuat rantai yang tebal merentangi teluk Golden Horn supaya angkatan laut Muslim tidak boleh masuk ke dalam teluk itu
Baginda telah mengepung kota itu dengan dua ratus lima puluh ribu orang tentera yang meliputi laut dan darat. Baginda sendiri memimpin tentera itu ke medan perang. Baginda melakanakan langkah pertama iaitu mengepung dan menyekat bantuan material kepada tentera Byzantium.
Baginda juga menghantar utusan untuk meminta Constantinople dengan aman. Maharaja Constantinople tidak menerima tawaran itu dan mengisytiharkan perang.
29 Mei 1453
Kota Constantinople berjaya ditawan selepas 53 hari dikepung. Ramai yang syahid. Baginda mengganti gereja Aya Sophia menjadi masjid. Baginda mahu melantik seorang imam kepada masjid itu. Baginda menyuruh siapa yang pernah tinggalkan solat fardu sejak baligh duduk. Tiada seorangpun duduk. Kemudian siapa pernah tinggal solat rowatib sejak baligh duduk. Separuhnya duduk. Siapa yang tidak pernah tinggal solat tahajjud sejak baligh duduk. Semua duduk kecuali seorang. Itulah Sultan Muhammad Al-Fatih… Itulah kisah sebaik-baik pemimpin dan tentera. Kita kena berusaha mengikut contoh yang pernah ditunjukkan.
Di Copy Dari: http://bunga2ku.wordpress.com/2009/06/15/sejarah-pembukaan-constantinople/
JENTIKAN KASIH…
28 Mei
Masih
teringat ketika masih kanak-kanak di kampung dahulu. Apabila hujan
lebat, kita begitu seronok bermain air. Tidak kira di tepi sungai atau
berhampiran tali air. Kita ketawa, gembira dan terjerit-jerit dengan
kawan-kawan.
Tetapi tidak lama… ibu akan datang dengan
ranting kayu menyuruh kita pulang. Kalau tetap berdegil, kita akan
menerima habuan. Apalagi, kita pun menangis. Sewaktu itu kita
tertanya-tanya, mengapa ibu menghalang kita berseronok-seronok?
Kini kita telah dewasa, kenangan itu
masih basah dalam ingatan. Kita tersenyum. Kenangan itu adalah bukti
kasih sayang ibu. Sekarang kita faham, ibu melarang kerana kasih. Ibu
merotan kerana sayang. Bukan kerana ibu cemburu, jauh sekali benci
apatah lagi untuk mendera. Ibu nampak apa yang kita tidak Nampak. Kita
hanya memikirkan suka, ibu memikirkan bahaya. Ya, kerana keprihatinan
ibu menjaga kita sewaktu kecil itulah menyebabkan kita masih di sini.
Begitulah dengan ujian-ujian Allah. Ia
begitu perit, pahit dan menyakitkan. Kita inginkan kejayaan, Allah
berikan kegagalan. Kita inginkan pertemuan, Allah takdirkan perpisahan.
Manis yang kita impikan, pahit yang menjadi kenyataan. Mengapa?
Jawabnya, itu adalah yang terbaik untuk kita. Ujian Allah umpama ‘rotan
ibu’ kepada anaknya yang degil. Ibu merotan kesah kasih sayang, Allah
lebih-lebih lagi…kerana kasih sayang Allah jauh lebih tinggi, lebih
murni daripada kasih seorang ibu terhadap anaknya.
Sayangnya, kita hamba yang ‘buta’. Kita
tidak nampak di sebalik segala keperitan dan kesakitan ujian Allah itu
adalah kasih sayang jua. Dahulu kita adalah anak kecil yang tidak
memahami di sebalik larangan dan kemarahan ibu. Kini kita adalah hamba
yang jahil kerana gagal memahami dan merasai kasih-sayang Allah di
sebalik segala ujianNya. Dahulu kita menangis, apabila dipukul ibu. Kini
kita ‘memberontak’ dan bertanya, mengapa Tuhan takdirkan kesusahan dan
kepedihan ini ke atas diriku?
Mengapa kita belum dewasa menghadapi
ujian Allah? Kenapa kita belum mampu tersenyum seperti seorang anak yang
telah dewasa sewaktu mengenang kembali memori silam sewaktu dia dipukul
ibunya? Kita seharusnya mampu ‘tersenyum’ ketika dipukul oleh
takdirNya. Atau sekurang-kurangnya tunduk akur, menyerah dan pasrah pada
ketentuan-Nya. Katakan pada hati, “Ya Allah, aku layak diuji. Aku hanya
hambaMu. Di sebalik ujian ini aku yakin ada kebaikannya. Cuma kerana
kelemahan dan kejahilanku… aku belum nampak wahai Tuhan. Namun aku tetap
yakin di sebalik semua ini tetap ada kasih sayangMu.”
Marilah kita teladani Nabi Muhammad saw
apabila ditimpa ujian, baginda sering berkata, “aku hamba Allah, Allah
tidak akan mengecewakanku.” Ini kerana baginda yakin bahawa pada setiap
ujian Allah terselit hikmah yang pasti memberi kebaikan, lambat atau
cepat, tersurat atau tersirat. Justeru, orang yang ‘arifbilllah’
(mengenal Allah) seperti Ibnu Ataillah pernah berkata, “Barang siapa
yang menyangka sifat kasih sayang Allah terpisah dalam takdir-Nya, maka
itu adalah kerana pendeknya penglihatan akal dan mata hati seseorang.”
Maksudnya, seberat mana pun ujian yang Allah timpakan, pasti ada kasih
sayang yang mendasari dan mengiringi ujian tersebut. Namun, akal yang
matang berfikir dan hati yang tenang berzikir sahaja dapat merasai
hikmah di sebalik setiap mehnah.
Telitilah firman Allah ini, Al-Baqarah
Ayat 216 : “Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik
bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat
buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.” Ilmu kita
yang terbatas, tidak akan dapat menjangkau ilmu Allah yang Maha luas.
Kita hanya nampak yang dekat, Allah nampak yang dekat dan yang jauh.
Kita hanya nampak guruh dan hujan, rupanya Allah hendak menghadiahkan
pelangi!
Alangkah indahnya kehidupan ini apabila
kita sentiasa berbaik sangka dengan Allah dengan menerima segala
ujiannya dengan sabar. Pahit, tidak cepat diluah. Pedih, tidak segera
disanggah. Anak yang dewasa akan tersenyum dan berterima kasih dengan
ketegasan ibu terhadapnya sewaktu dia masih kecil. Mujur ibuku memarahi
ku dahulu, jika tidak… kini aku tidak berjaya. Syukur, ibuku telah
merotanku sewaktu aku kecil dahulu, itulah yang menyebabkan aku menjadi
‘manusia.’
Syukur kepada Allah yang mengurniakan ibu
untuk kita. Semakin tinggi rasa terima kasih kita kepada ibu,
sewajarnya semakin tinggi pula syukur kita kepada Allah. Tanpa ibu,
siapalah kita… namun tanpa kasih sayang Allah, tiada ibu, tiada kita.
Antara nikmat Allah yang tidak boleh kita dustakan ialah nikmat ibu.
Namun, lebih tinggi sepatutnya kesyukuran kita kepada Allah… yang telah
mendidik kita dengan ujian-ujianNya. Yang sering menjentik kita dengan
kasihNya.
Dengan jentikan (ujian) itulah iman dan
Islam kita dewasa. Dengan mehnah itulah kita mendapat hikmah. Dan dengan
hikmah itulah kita menagih syurga!
Di Copy Dari:http://genta-rasa.com/2012/05/28/jentikan-kasih/#more-2166
Islam Dan Hiburan : Batasan Dalam Berhibur
Islam Meraikan Hiburan Yang Halal
Hiburan merupakan suatu perkara yang
diminati oleh manusia secara fitrahnya. Bahkan hiburan merupakan satu eleman
dalam kehidupan. Adapun konsep hiburan itu berbeza-beza dan minat seseorang
juga berbeza-beza mengikut kecenderungan masing-masing.
Islam tidak memperincikan apa bentuk
hiburan tersebut, ia terserah kepada kesesuaian individu, tempat dan masa yang
sentiasa berubah-ubah. Apa yang pati hiburan adalah subjektif yang memberikan
maksud sesuatu (perbuatan, benda dan sebagainya) yang memberikan kegembiraan
dan menyukakan hati.[1] Maka hiburan tersebut adalah luas bentuknya samada
dalam bentuk suara seperti nyanyian, gurindam, sajak atau perbuatan seperti
tarian, berlakon, bersukan atau ia merupakan sesuatu benda / objek seperti
alatan muzik, buku, alatan sukan dan sebagainya.
Justeru, apa jua yang menghiburkan
hati atau menggembirakan hati itu dipanggil sebagai hiburan. Sehubungan itu
tujuan hiburan adalah menggembirakan hati, berlawanan dengan segala perkara
yang menyedihkan hati.
Dalam ilmu mantik, manusia juga
dikategorikan sebagai hayawan dhahik (حيوان ضاحك) iaitu makhluk hidup yang boleh gelak.
Takrifan ini membezakan dengan haiwan walaupun konsep bahasanya adalah hayawan.
Hal ini demikian hayawan adalah pengklasan dari sudut makhluk yang bernyawa
maka ia merangkumi manusia dan haiwan.
Dhahik pula pengklasan dari sudut
jenis sifat, maka ini yang membezakan antara manusia dan haiwan disebabkan
kerana haiwan tidak boleh gelak berbeza dengan manusia.[2]
Justeru, sifat itu yang ingin dimaksudkan
ialah gembira iaitu mampu untuk berhibur dan berhajat kepada sesuatu yang
menghiburkan hati. Maka dari sudut mantiknya pun membawa maksud bahawa hiburan
merupakan perkara fitrah. Dan bertepatan dengan Islam yang merupakan agama
fitrah maka sudah tentu Islam membenarkannya selagimana ia tidak bertentangan
dengan syara’.
Bahkan Nabi SAW juga berpesan kepada
sahabatnya agar hidup dalam keadaan fitrah. Hal ini demikian kerana Islam itu
agama fitrah. Disebabkan itu Islam melarang daripada hidup sebagaimana rahib
yang tidak berkahwin, bahkan Islam mensyariatkan perkahwinan. Islam juga
menyuruh manusia mencari rezeki sebagaimana dalam ayat Al-Quran berkenaan Solat
Jumaat.
Firman Allah dalam Surah Al-Jumu’ah
pada ayat ke-10 yang bermaksud :
“Apabila telah ditunaikan solat
(Solat Jumaat dan umumnya), maka bertebaranlah kamu di muka bumi; dan carilah
kurniaan Allah dan ingatlah Allah banyak-banyak supaya kamu beruntung.”
Islam tidak menghalang berniaga dan
apa jua pekerjaan untuk mencari rezeki sebagaimana yang disebutkan dalam ayat
Al-Quran di atas. Bahkan ayat di atas disebutkan bahawa selepas selesai
melaksanakan solat (kewajipan kepada Allah) maka diperintahkan untuk bertebaran
mencari kurniaan Allah samada perniagaan dan sebagainya. Hal ini demikian
kerana Islam itu agama fitrah iaitu tidak menghalang kehendak manusia dari
sudut kehidupan dunia selagimana ia tidak ditegah dan membelakangi kewajipan.
Bahkan inilah yang dikurniakan kepada
manusia, namun Allah mengingatkan agar manusia menguruskan segala apa yang
dikehendakinya itu selaras dengan Islam, tidak bertetangan dengan syara’. Hal
ini demikian kerana apa yang disyariatkan Allah itu adalah sebaik-baiknya.
Firman Allah dalam Surah Ali Imran
pada ayat ke-14 yang bermaksud :
“Dijadikan indah pada (pandangan)
manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, iaitu: wanita-wanita,
anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan,
binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia,
dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik (surga).”
Kisah sahabat yang bernama Hanzalah
merupakan kisah yang masyhur bahawa Nabi SAW mengajar para sahabat agar hidup
dalam keadaan yang normal iaitu tidak menolak fitrah semulajadi yang memerlukan
kepada hiburan namun dalam batasan syara’. Hanzalah suatu ketika merasa gelisah
sehingga merasakan seakan-akan bersifat sebagaimana orang munafik iaitu
melakukan ibadah dalam satu masa, dan berhibur dalam satu masa. Namun bukanlah
melakukan maksiat atau terjatuh dalam perkara haram. Lalu Nabi SAW bersabda
kepada Hanzalah yang bermaksud :
“Wahai Hanzalah, sekiranya kamu
berterusan dengan (syadid) dalam keadaan kamu sekarang ini (ibadah semata-mata
tanpa rehat dan berhibur seketika) nescaya malaikat akan mengiringi ke mana
sahaja kamu lalu (fadhilat yang besar terhadap ibadah yang sahih di lakukan),
akan tetapi satu masa dan satu masa.”[3]
Apa yang ingin dimaksudkan ialah
dalam kehidupan ini tidak perlu terlalu syadid tanpa melihat ibadah umum yang
lebih luas. Disebabkan itu Nabi SAW sebut “satu masa dan satu masa” maksudnya
ada masa untuk fokus ibadah yang khusus dan ada masa untuk rehat, berhibur,bersama-sama
dengan masyarakat dan sebagainya selagimana dalam ruang lingkup yang harus
bukannya haram atau maksiat.
Batasan-Batasan Dalam Berhibur
Majoriti ulama menghukumkan bahawa
hiburan adalah diharuskan dengan syarat hiburan tersebut tidak mengandungi
sebarang unsur-unsur maksiat yang haram dan apa jua bentuk yang bertentangan
dengan syara’.
Lihat ketika mana peristiwa hijrah,
apabila Nabi SAW bersama-sama dengan Abu Bakar sampai di Madinah, baginda SAW
disambut oleh penduduk Madinah dengan kegembiraan melalui nyanyian dan paluan
gendang serta bertepuk tangan. Kesemua ini merupakan hiburan yang menzahirkan
mereka gembira dengan kehadiran Nabi SAW, bahkan Nabi SAW tidak menghalangnya
dan membiarkannya dengan bersabda kepada Abu Bakar yang bermaksud :
“Biarkan mereka wahai Abu Bakar,
sehingga orang yahudi ketahui bahawa agam kita (Islam) itu lapang / luas
(meraikan fitrah)”[4]
Saidatina Aisyah RA meriwayatkan
bahawa ketika beliau mengiringi seorang wanita Ansar ke rumah suaminya (majlis
menyambut tetamu), lalu baginda SAW bersabda kepadanya :
“Wahai Aisyah, tidak adakah
bersama-sama kamu akan hiburan? Sesungguhnya kaum Ansar mereka teruja / suka
akan hiburan.”[5]
Dalam kisah ini, Nabi SAW tidak
menghalang akan hiburan yang disukai oleh kaum Ansar dalam majlis perkahwinan
mereka selagimana ia tidak bertentangan dengan syara’. Hal ini demikian kerana,
sebarang perkara yang tidak bertentangan dengan syara’ dan tidak dihukumkan
akan haram maka hukumnya adalah harus.
Firman Allah SWT dalam Surah Al-Maidah
pada ayat ke-4 yang bermaksud :
“Mereka menanyakan kepadamu:
"Apakah yang dihalalkan bagi mereka?." Katakanlah: "Dihalalkan
bagimu yang baik-baik”
Justeru, apa yang tidak diharamkan
dan dilarang oleh syara’ adalah perkara yang baik. Disebabkan itu hiburan yang
menurut Islam yang tidak mengandungi unsur-unsur yang haram adalah diharuskan.
Firman Allah SWT dalam Surah Yunus
pada ayat ke- 59 yang bermaksud :
“Katakanlah: "Terangkanlah
kepadaku tentang rezki yang diturunkan Allah kepadamu, lalu kamu jadikan
sebagiannya haram dan (sebagiannya) halal." Katakanlah: "Apakah Allah
telah memberikan izin kepadamu (tentang ini) atau kamu mengada-adakan saja
terhadap Allah ?"
Firman Allah SWt dalam Surah Al-A’raf
ayat ke-32 yang bermaksud :
“Katakanlah: "Siapakah yang
mengharamkan perhiasan dari Allah yang telah dikeluarkan-Nya untuk
hamba-hamba-Nya dan (siapa pula yang mengharamkan) rezki yang baik?"
Katakanlah: "Semuanya itu (disediakan) bagi orang-orang yang beriman dalam
kehidupan dunia, khusus (untuk mereka saja) di hari kiamat." Demikianlah
Kami menjelaskan ayat-ayat itu bagi orang-orang yang mengetahui.”
Berdasarkan ayat Al-Quran di atas,
Al-Marhum Syeikh Atiyah Saqar berfatwa sesuatu perkara itu tidaklah diharamkan
semata-mata ia menghiburkan atau menyeronokkan akan tetapi ia diharuskan
berdasarkan qias kepada perkara-perkara baik melainkan adanya illah yang menunjukkan ia adalah haram.[6]
Justeru, hukum asal bagi hiburan
adalah diharuskan dengan syarat menjaga batasan-batasan yang telah ditetapkan
oleh Islam sebagaimana yang dinyatakan oleh para ulama yang menghukumkan
hiburan itu adalah harus, iaitu :
1-
Dari sudut jenaka atau lawak, pastikan tidak menipu dan menghina atau
menjatuhkan maruah seseorang serta tidak melampau sehingga terlalu banyak
gelak.
Nabi SAW bersabda :
“Celakalah bagi mereka yang berkata
kemudian menipu untuk menggelakkan sesuatu kaum (menghina), celakalah baginya,
celakalah baginya.”[7]
Abu Hurairah RA meriwayatkan Nabi SAW
bersabda :
“Berjenakalah, dan jangan kamu
bercakap melainkan perkara yang benar.”[8]
Firman Allah dalam Surah Al-Hujurat
ayat ke-11 yang bermaksud :
“Hai orang-orang yang beriman,
janganlah sekumpulan orang laki-laki merendahkan kumpulan yang lain, boleh jadi
yang ditertawakan itu lebih baik dari mereka. Dan jangan pula sekumpulan
perempuan merendahkan kumpulan lainnya, boleh jadi yang direndahkan itu lebih
baik. Dan janganlah suka mencela dirimu sendiri dan jangan memanggil dengan
gelaran yang mengandung ejekan. Seburuk-buruk panggilan adalah (panggilan) yang
buruk sesudah iman dan barangsiapa yang tidak bertobat, maka mereka itulah
orang-orang yang zalim.”
Nabi SAW bersabda :
“Janganlah kamu banyak dalam
bergelak, kerana sesungguhnya banyak dalam bergelak mematikan hati.”[9]
Saidina Ali bin Abi Talib menyebut :
“Masukkan dalam kalam akan jenaka,
dengan kadar memasukkan garam dalam makanan.”[10]
2-
Tidak mengandungi unsur perjudian dan sebagainya yang diharamkan dalam
konteks kewangan Islam.
Firman Allah dalam Surah Al-Maidah
pada ayat ke-90 yang bermaksud :
“Hai orang-orang yang beriman,
sesungguhnya (meminum) arak, berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib
dengan panah, adalah termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah
perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan.”
3-
Tidak lalai sehingga mengabaikan kewajipan seperti solat fardhu dan
sebagainya.
Firman Allah dalam Surah Al-Asr yang
bermaksud :
“Demi masa. Sesungguhnya manusia
dalam keadaan yang rugi. Melainkan mereka yang beriman, beramal soleh, dan
berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran.”
Firman Allah dalam Surah Al-Mukminun
pada ayat ke-3 yang bermaksud :
“Dan orang-orang yang menjauhkan diri
dari (perbuatan dan perkataan) yang tiada berguna”
Iaitu mereka yang lalai dengan
perkara keduniaan sehingga luputnya kewajipan yang sepatutnya dilakukan.
4-
Tidak mendatangakan mudharat samada mencederakan diri sendiri atau
mencederakan pihak lain.
Firman Allah dalam Surah An-Nisa’
pada ayat ke-29 yang bermaksud :
“Janganlag kamu membunuh diri kamu
sendiri, sesungguhnya Allah maka pengasihi dengan kamu (hamba-hamba-Nya).”
Abi Said Al-Khudri, meriwayatkan
bahawa Nabi SAW bersabda :
“Tidak ada (haram melakukan) mudharat
dan membalas kemudharatan (dengan mudharat)”[11]
5-
Tidak mendedahkan aurat, berlaku percampuran yang terlarang / pergaulan
bebas serta fitnah dari sudut syahwat yang menjurus ke arah zina
Firman Allah dalam Surah An-Nur pada
ayat ke-30 dan 31 yang bermaksud :
“Katakanlah (wahai Muhammad) kepada
orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka
(daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang
demikian itu lebih suci bagi mereka sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya
tentang apa yang mereka kerjakan.(30) Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan
yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram),
dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan
tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya dan hendaklah mereka menutup
belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka”
Firman Allah dalam Surah Al-Isra’
pada ayat ke-32 yang bermaksud :
“Janganlah (haram) kamu menghampiri
zina, sesungguhnya ia perbuatan yang keji dan seburuk-buruk jalan.”
Dan boleh rujuk pada artikel-artikel
yang lepas berhubung isu aurat dan berkaitan dengannya di :
http://www.manhal.pmram.org/2011/01/hukum-bersalaman-antara-lelaki-dengan.html
http://www.manhal.pmram.org/2010/11/perbahasan-melihat-aurat-sesama-jenis.html
Kesimpulan
Islam tidak menghalang umatnya
daripada berhibur bahkan ia diraikan selagimana tidak bercanggah dengan syara’.
Konsep berhibur hendaklah mengikut garis panduan yang telah ditetapkan
sebagaimana yang telah dibentang di atas.
Justeru, mana-mana hiburan yang
bercanggah dengan syara’ adalah diharamkan dan mesti dicegah agar tidak
merosakkan masyarakat bermula dari akar umbi.
Pihak kerajaan mestilah mengambil
sikap cakna yang serius dalam membangunkan modal insan di kalangan rakyat
samada Islam atau non muslim. Hal ini demikian kerana kejatuhan moral
menunjukkan sesebuah masyarakat tersebut tidak bertamadun.
Bahkan pihak-pihak berwajib juga
bertanggungjawab dalam memastikan pencegahan keruntuhan moral terutama dalam
bab hiburan ini dibendung.
Akhir sekali, pihak kerajaan dan
terbabit mestilah merangka program-program yang memberikan manfaat samada dari
sudut kerohanian, pemikiran, sosial, dan sebagainya kepada masyarakat terutama
golongan belia yang bertepatan dengan syara’ serta tidak bercanggah dengan
Islam.
Wallahu a’lam
Disediakan oleh :
Muhamad Zuhaili Saiman
Pengerusi Felo MANHAL PMRAM 2012
Rujukan :
1-
Al-Fatawa Min Ahsan Al-Kalam Fi Al-Fatawa Wa Al-Ahkam, jilid ke-2 oleh
Al-Marhum Syeikh Atiyah Saqar, cetakan Maktabah Wahbah
2-
Al-Islam Wa Al-Fan, oleh Dr Yusuf Al-Qardhawi, cetakan Maktabah Wahbah
3-
Fiqh Al-Lahw Wa At-Tarwih, oleh Dr Yusuf Al-Qardhawi, cetakan Maktabah
Wahbah
4-
Fiqh Al-Ghina’ Wa Al-Musiqi Fi Dhaui Al-Quran Wa As-Sunnah, oleh Dr
Yusuf Al-Qardhawi, cetakan Maktabah Wahbah
5-
Al-Fath Al-Mubin, oleh Imam Ibnu Hajar Al-Haithami S-Syafie, cetakan Dar
Al-Minhaj
6-
Al-Bayan Lima Yashghulu Al-Azhan, oleh Syeikh Ali Jumaah, cetakan
Muqattam Li An-Naysr Wa At-Tauzik
________________________________________
[1] rujuk Kamus Dewan Bahasa dan
Pustaka edisi ke-4
[2] kitab Fiqh Al-Lahwi Wa At-Tarwih,
Dr Yusuf Al-Qardhawi m/s 20
[3] kitab Fiqh Al-Lahwi Wa At-Tarwih,
Dr Yusuf Al-Qardhawi m/s 29
[4] Tafsir Al-Qurtubi. Lihat kitab
Al-Bayan Lima Yashghulu Al-Azhan,oleh Syeikh Ali Jumaah, Mufti Mesir m/s 355
[5] Sahih Bukhari, jilid ke-5,
cetakan Dar Ibnu Kathir. Lihat kitab Al-Bayan Lima Yashghulu Al-Azhan,oleh
Syeikh Ali Jumaah, Mufti Mesir m/s 350
[6] Al-Fatawa Min Ahsan Al-Kalam Fi
Al-Fatawa Wa Al-Ahkam, Al-Marhum Syeikh Atiyah Saqar, m/s250
[7] Ahmad no 20073 dan Ad-Darimi no
2707
[8] At-Tirmizi no 1990
[9] kitab Al-Lahw Wa At-Tarwih, Dr Yusuf
Al-Qardhawi, m/s 40
[10] kitab Al-Lahw Wa At-Tarwih, Dr
Yusuf Al-Qardhawi, m/s 40
[11] Ibnu Majah no 2340
Sumber : manhal.pmram
Di Copy Dari: http://kpipm64.blogspot.com/2012/05/islam-dan-hiburan-batasan-dalam.html
Selasa, 29 Mei 2012
Raja Al-Najasyi: Penghilang Duka Muslimin
Bergeliga
Meleraikan Kemarahan Rakyat
“Raja kita sudah
terpengaruh dengan agama pendatang itu.”
Berita
ini gempar tersebar. Dibualkan di merata ceruk desa dan bandar. Diapi-apikan oleh
golongan pemimpin yang dengki. Mereka menghasut rakyat supaya menggulingkan
rajanya.
Bahkan beberapa orang penting ingin
membatalkan bai’atnya kepada Najasyi. Najasyi terpaksa berstrategi mengendurkan
kemarahan rakyat. Baginda ingin menangani puak pembangkang dengan sikap
saksama.
Baginda mengkhabarkan
situasi negeri kepada pendatang muslimin melalui ketua mereka iaitu Ja’far bin
Abi Thalib. Baginda menyerahkan dua buah kapal sambil berkata,
“Naiklah kalian
ke kapal itu, amati perkembangan. Bila beta kalah, pergilah ke mana kalian
suka. Tapi kalau beta menang, kalian boleh kembali dalam perlindungan seperti
semula.”
Kemudian, Najasyi
mengambil sehelai kulit kijang dan menulis, “Aku bersaksi bahawa tiada Ilah
kecuali Allah dan Muhammad adalah hamba dan utusan-Nya yang terakhir. Dan
aku bersaksi bahwa Isa adalah hamba dan utusan-Nya yang ditiupkan kepada
Maryam.”
Dipakainya
tulisan itu di dada, kemudian dia mengenakan pakaian perangnya dan pergi
bersama perajuritnya. Berdirilah Najasyi menghadapi para penentangnya. Baginda
mulakan dengan perbincangan. Baginda berkata,
“Wahai rakyat
Habasyah, katakanlah, bagaimana perlakuanku kepada kalian?”
Mereka
menjawab, “Sangat baik, Tuanku.”
Najasyi
berkata, “Lalu mengapa kalian menentangku?”
Mereka berkata,
“Kerana Tuanku telah keluar dari agama kita dan mengatakan bahawa Isa adalah
seorang hamba.”
Najasyi
berkata, “Bagaimana menurut kalian sendiri?”
Mereka
menjawab, “Dia adalah putera Allah.”
Maka Najasyi
mengeluarkan tulisan yang dipakainya di dada, diletakkan di atas meja dan
berkata, “Aku bersaksi bahawa Isa bin Maryam tidaklah lebih dari yang tertulis
di sini.”
Di luar dugaan
tentang apa yang tertulis, ternyata rakyat menerima dengan senang
pernyataan Najasyi. Mereka membubarkan diri dengan lega. Kebijaksanaan Najasyi
menyelamatkan rakyat daripada pertumpahan darah. Dalam masa yang sama, dia
tetap teguh dengan kepercayaannya.
Bersahabat dengan Rasulullah SAW Dari Jauh
Keadilan
Najasyi melindungi kaum muhajirin yang berhijrah ke negerinya menggembirakan Rasulullah
SAW. Lebih-lebih lagi apabila Rasulullah SAW mendengar betapa tawadhuknya hati
Najasyi terhadap kebenaran al-Quran. Meskipun mereka tinggal berjauhan, namun
hubungan mereka menjadi akrab.
Pada tahun baru
7 hijriyah, Rasulullah SAW berhajat untuk berdakwah kepada enam orang
pemimpin negeri tetangga agar mahu masuk agama Islam. Beliau menulis untuk
mengingatkan mereka tentang iman, dan menasihatkan mereka tentang bahaya syirik
dan kekufuran.
Maka baginda
menyiapkan enam orang sahabat. Mereka mempelajari bahasa kaum yang hendak
didatangi terlebih dahulu agar dapat menyelesaikan tugas dengan sempurna.
Setelah siap, keenam-enam sahabat itu berangkat pada hari yang sama. Di antara
mereka ialah Amru bin Umayah Adh-Dhamari yang diutus kepada Najasyi di negeri
Habasyah.
Amru bin Umayah
Adh-Dhamari menghadap Najasyi. Dia memberi salam secara Islam dan Najasyi
menjawabnya dengan lebih indah serta menyambutnya dengan baik.
Setelah
dipersilakan duduk di majlis Habasyah, Amru bin Umayah memberikan surat
Rasulullah SAW kepada Najasyi. Surat itu segera dibaca. Di dalamnya tertulis
ajakan kepada Islam, disertai beberapa ayat al-Quran.
Najasyi
menempelkan surat itu di kepala dan matanya dengan penuh hormat. Setelah itu
dia turun dari singgahsana dan menyatakan ke-Islamannya di hadapan hadirin.
Selesai mengucapkan syahadat, dia berkata,
“Kalau saja
beta mampu untuk mendatangi Muhammad SAW nescaya beta akan duduk di hadapan
baginda dan membasuh kedua kakinya.”
Kemudian dia
menulis surat jawapan kepada Rasulullah SAW berisi pernyataan menerima dakwahnya
dan keimanan atas kenabiannya.
Wakil Rasulullah SAW Menikahi Ummu Habibah
Kemudian, Amru
bin Umayah menyodorkan surat Nabi SAW yang kedua. Dalam surat itu, Rasulullah
SAW meminta agar Najasyi bertindak sebagai wakil untuk pernikahan baginda dengan Ramlah binti Abu Sufyan yang termasuk
rombongan Muhajirin ke Habasyah.
Ramlah yang
lebih dikenali sebagai Ummu Habibah sedang menghadapi ujian hidup yang sangat
getir. Ayahnya antara penentang Islam yang paling utama.
Suaminya Ubaidullah bin Jahsy pula mati dalam keadaan murtad.
Suaminya Ubaidullah bin Jahsy pula mati dalam keadaan murtad.
Hancur hati
Ummu Habibah tatkala suaminya masuk agama Nasrani dan berbalik memusuhi Islam
serta kaum muslimin. Pekerjaannya hanya duduk-duduk di tempat maksiat dan
menjadi pemabuk berat. Bahkan dia memberikan tawaran kepada Ummu Habibah, ikut
agama Masehi seperti dirinya atau diceraikan.
Ummu Habibah
tidak memilih suami atau ayahnya. Dia memilih Allah dan Rasul.
Terkontang-kanting bersama puterinya, Habibah di bumi Habsyah yang asing. Tanpa
ayah dan suami sebagai pembela hidupnya, dia ibarat sebatang kara. Jiwanya
tetap kental dengan akidahnya.
Utusan Najasyi
Pagi itu amat
cerah. Terdengar ketukan di pintu rumah Ummu Habibah. Ketika dibuka, seorang
wanita utusan Najasyi memberi salam dan berkata,
“Tuanku Najasyi
mengirimkan salamnya untukmu dan berpesan bahawa Muhammad Rasulullah SAW telah
meminang dirimu. Baginda Najasyi ditunjuk sebagai wakil untuk akad nikah. Maka
bila kamu menerima pinangan itu, bersiaplah segera siapa yang kamu tunjuk
sebagai wali.”
Betapa tidak
terukur kebahagiaan Ummu Habibah. Beliau berkata kepada utusannya tersebut,
“Semoga kamu mendapatkan kebahagiaan dari Allah.”
Kemudian Ummu
Habibah berkata, “Aku menunjuk Khalid bin Sa’id bin Ash sebagai waliku kerana
dialah kerabatku yang terdekat di negeri ini.”
Pada hari yang
dijanjikan, istana Najasyi nampak semarak. Seluruh sahabat yang ada di Habsyah
hadir untuk menyaksikan pernikahan Ummu Habibah dengan Rasulullah SAW.
Najasyi
mengucapkan salam dan tahmid dan berkata, “Amma
ba’du, saya penuhi permintaan Rasulullah SAW untuk menikah dengan Ramlah
binti Abi Sufyan. Dan saya berikan mahar sebagai wakil Rasulullah berupa empat
ratus dinar emas berdasarkan sunnatullah dan
sunnah Rasul-Nya.” (Satu dinar bersamaan lebih kurang harga seekor kambing.
Cuba darab…)
Khalid bin
Sa’id bin Ash sebagai wali Ummu Habibah berkata, “Saya terima permintaan
Rasulullah SAW dan saya nikahkan Ramlah binti Abi Sufyan yang memberi saya wakalah (dilantik sebagai wakil) dengan
Rasulullah. Semoga Allah memberkahi Rasul dan isterinya.”
Kemudian
Najasyi mempersiapkan dua buah kapal untuk menghantarkan Ummul mukminin Ramlah binti Abi Sufyan dan puterinya, Habibah
beserta sisa-sisa kaum muslimin yang masih ada di Habasyah. Sejumlah rakyat
Habsyi yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya turut bersama mereka. Mereka
rindu untuk berjumpa langsung dengan Rasulullah SAW dan solat di belakang
baginda. Rombongan tersebut dipimpin oleh Ja’far bin Abi Thalib.
Tongkat Buat Rasulullah
Najasyi juga
memberikan banyak hadiah kepada Ummu Habibah berupa wangi-wangian mahal, juga
beberapa bingkisan untuk Rasulullah SAW. Di antaranya ada tiga batang tongkat
Habsyah yang terbuat dari kayu-kayu terpilih.
Di kemudian
hari, salah satu daripada tongkat itu dipakai oleh baginda sendiri, dan yang
lain dihadiahkan kepada Umar bin Khathab dan Ali bin Abi Thalib.
Tongkat
tersebut biasa didirikan di hadapan Nabi (sebagai sutrah) ketika ditegakkan solat,
tatkala tempat-tempat yang tidak ada masjid atau bangunan lainnya atau di dalam
perjalanan, dalam solat-solat hari raya dan solat istisqa’.
Pada masa pemerintahan
Abu Bakar al-Shiddiq, Bilal adalah orang yang memegang tongkat itu. Lalu pada
zaman Umar bin Khatthab dan Usman bin Affan, tongkat tersebut beralih ke tangan
Sa’ad al-Qarazhi. Begitulah seterusnya setiap kali pergantian khalifah.
Najasyi yang
pemurah turut memberikan hadiah berupa perhiasan-perhiasan, di antaranya ada
cincin emas. Nabi SAW menerima tetapi tidak dipakai sendiri. Baginda memberikan
kepada Umamah, cucu baginda dari puteri baginda, Zaenab. Katanya dengan kasih
sayang,
“Pakailah ini
wahai cucuku.”
Solat Ghaib Nabi Buat Najasyi
Tidak lama sebelum pembukaan Makkah, Najasyi wafat, Rasulullah SAW memanggil para sahabat untuk melakukan solat ghaib. Padahal Rasulullah belum pernah solat ghaib sebelum wafatnya Najasyi dan tidak pula setelahnya.
Semoga Allah
meredai Najasyi dan menjadikan syurga-Nya yang kekal sebagai tempat
kembalinya. Sungguh dia telah menguatkan kaum muslimin di saat mereka lemah,
memberikan rasa aman di saat mereka ketakutan dan dia melakukan hal itu
semata-mata kerana mencari reda Allah Taala.
Diadaptasi dari Dr. Abdurrahman Ra’fat Basya, Shuwaru min Hayati at-Tabi’in, atau Mereka Adalah Para Tabi’in, terj. Abu Umar Abdillah (Pustaka At-Tibyan, 2009).
Di copy dari :http://sebarkanbahagia.blogspot.com/2012/05/raja-al-najasyi-penghilang-duka.html
Rabu, 23 Mei 2012
KepenTingan MuSYrif
Nabi s.a.w bersabda yang
bermaksud“Sesungguhnya Allah membenarkan kamu hai wanita untuk keluar bagi
memenuhi keperluan”(Hr Ahmad). Walaupun begitu Islam menegaskan bahawa
tempat bagi seorang perempuan adalah di rumah jika tidak ada sebarang keperluan
yang memerlukannya untuk keluar. Allah berfirman, “Dan hendaklah kamu hai wanita duduk menetap di
rumah kamu”ayat 33 surah Al-Ahzab.
Namun demikian terdapat juga keadaan
yang mana Islam tidak menggalakkan perempuan keluar dari tempat tinggalnya
iaitu apabila boleh membahayakan keselamatannya atau membawa kepada maksiat.Ini
jelas dari hadis Nabi
SAW:“Sesungguhnya diri perempuan itu adalah aurat(boleh membawa kepada
fitnah).Apabila perempuan itu keluar maka syaitan akan mengawasi dan menghiasi
dirinya(sehingga lelaki tertawan dan membuat maksiat)”hadis riwayat Tarmizi.
Hadis ini menjelaskan kepada kita bahawa seseorang perempuan itu berupaya menarik perhatian lelaki dan menggodanya.Ini boleh mendedahkan perempuan tadi kepada bahaya gangguan seksual dan pelbagai lagi fitnah.Fitnah ini lebih banyak terjadi kepada mahasiswi yang belajar di luar negara. Perkara ini disebabkan persepsi masyarakat tempatan yang menganggap mahasiswi asing mudah dikacau dan diganggu kerana tiada yang dapat melindungi mereka.
Suasana di Mesir tidak menyokong keselamatan yang baik kepada mahasiswi. Telah diketahui umum bahawa perbelanjaan kahwin di Mesir memerlukan belanja yang bukan sedikit sehingga menyebabkan ramai lelaki warga tempatan mesir menangguhkan perkahwinan kerana terpaksa mencari kewangan yang mencukupi terlebih dahulu.Kesukaran untuk berkahwin menyebabkan segelintir dari mereka melempiaskan nafsu bukan melalui saluran yang halal seperti mencabul kehormatan,rogol,dan lain-lain. Dalam Al-Quran ada dijelaskan tentang adanya kejahatan-kejahatan yang banyak pada waktu malam. Allah S.W.T berfirman,
“Dan Aku berlindung dari kejahatan malam apabila ia
berlabuh”surah Al-Falaq.Dalam satu hadis Nabi SAW bersabda “Kalaulah
manusia tahu tentang keburukan berjalan seorang diri, nescaya aku tidak akan
dapat mengetahui adanya orang yang sanggup berjalan seorang diri pada waktu
malam”.
Ini
menunjukkan bahawa waktu malam adalah sangat berbahaya terutama kepada
perempuan yang dijadikan Allah SWT kurang dari segi kekuatan fizikal berbanding
lelaki.Kurangnya kekuatan fizikal memerlukan bantuan lelaki untuk melindungi
dan membantu mereka. Dalam surah Al-Qasas ayat 23 dan 24 ada disebut
kisah dua orang anak perempuan Nabi Syuib yang berusaha untuk mengambil air
namun tidak berjaya kerana ramainya orang.Lalu datanglah Nabi Musa AS membantu
mereka.Dalil ini menunjukkan bahawa bilangan perempuan yang ramai juga
memerlukan bantuan lelaki dalam keadaan-keadaan tertentu
Sememangnya
menjadi kewajipan bagi mahasiswi untuk tidak mendedahkan dirinya kepada bahaya. Firman Allah SWT “Dan janganlah
kamu mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan”surah Al-Baqarah ayat 195.Nabi
SAW juga bersabda “Janganlah melakukan perkara yang memudharatkan diri kamu dan
diri orang lain.”riwayat Ibnu Majah.
Kes-kes mahasiswi Malaysia yang menerima ganguan seksual daripada orang Arab di Mesir ini bukanlah satu perkara yang dapat dirahsiakan lagi.Sebab itulah diwujudkan sistem musyrif di bumi Mesir ini iaitu untuk membantu dan melindungi keselamatan mahasiswi dari diganggu.Sesungguhnya mahasiswi yang keluar malam tanpa pantauan musyrif adalah mendedahkan diri kepada bahaya dan boleh membawa kepada kemudharatan.
Jumaat, 18 Mei 2012
HUKUM PERAYAAN LAHIR DAN HARI IBU : Dr Yusuf Al-Qardhawi
Hukum Perayaan Hari Ibu oleh al-Qaradhawi
Terjemahan: Mohamad Abdul Kadir bin Sahak
-------------------------------------------------
Soalan
Pertama: “Apa pandangan tuan tentang
(sambutan) hari lahir untuk kanak-kanak?
Soalan
Kedua: “Demikian juga (sambutan) hari ibu
yang disambut oleh orang ramai, dan mereka mengikut orang lain, sedangkan Nabi
SAW bersabda: “Pasti nanti kamu semua (umat Islam) akan mengikut
langkah-langkah orang-orang sebelum kamu sejengkal demi sejengkal.”
Jawapan
al-Qaradhawi: “Tengtang dua soalan awal yang ditanya, penyebabnya adalah
taklid buta, saya hendak menasihati pak-pak turut kepada orang lain,
sesungguhnya Allah telah menjadikan kita sebagai pemimpin, apakah patut kita
menjadi hamba kepada Barat sedangkan Allah telah menjadikan kita bebas dan
merdeka? Barat mengadakan perayaan hari lahir untuk kanak-kanak dan orang
dewasa, kita pula mengikuti orang-orang barat, kita buat apa yang mereka buat,
sehingga seseorang yang sudah besar juga mengadakan hari lahirnya sendiri.
Apabila telah berlalu setahun yang sepatutnya anda semua memuhasabah diri
sendiri dalam setahun yang telah berlalu itu. Kamu sepatutnya duduk dan
menangisi diri kamu, tidak perlu kamu menyalakan lilin dan merayakan diri kamu,
juga bagi kanak-kanak, menjadikan kebiasaan seperti ini sebagai acara tahunan adalah tidak harus. Saya katakan,
barangkali mungkin kita boleh mengadakan sambutan untuk anak-anak kita ketika
peristiwa-peristiwa tertentu seperti ketika bayi dilahirkan, kita mengadakan
sambutan padanya, kita sembelih akikah, apabila anak itu sampai umur tujuh
tahun, kita sambutnya dan kita katakan kepadanya kamu telah sampai Umur Solat, kita katakan
kepadanya juga: Sekarang ini wahai anak yang bertuah (gagah), kami adakan untukmu
sambutan untuk kamu mula menunaikan solat, dan kamu sekarang dituntut untuk
mendirikan solat. Kita sambut dengan memakan kek dan jus-jus yang berbagai,
itulah dia perayaan solat. Ketikamana anak itu mencapai umur sepuluh tahun,
kita adakan pula perayaan/sambutan lain “Haflah al-Darb”, kita katakan
kepadanya, kita telah adakan sambutan untuk kamu tiga tahun yang lalu hingga
kamu menunaikan solat sekarang, ketika ini pula kamu telah semakin dewasa, jika
kamu tidak menunaikan solat kamu berhak dipukul. Apabila dia mencecah umur lima
belas tahun, kita adakan pula untuk dia sambutan dia telah sampai umur baligh.
Perayaan-perayaan/sambutan-sambutan bersempena perkara-perkara ini bukanlah
bermakna setiap tahun kita adakan sambutan untuknya. Kemudian kita boleh juga
adakan untuk anak itu sambutan/perayaan sempena peristiwa lain, setiap kali dia
berjaya, kita adakan sambutan, setiap kali dia mengenengahkan kerja baik, kita
sambut lagi, demikianlah juga untuk anak perempuan, sebagai tambahan lagi,
boleh juga kita menyambut perayaan untuk anak perempuan itu apabila dia mula
memakai tudung, kesemua perayaan seperti ini kita tidak menyambutnya pada
setiap tahun.
Berkenaan
ibu orang-orang barat, mereka mengadakan hari ibu, kerana orang-orang barat
selepas anak lelaki dan perempuan mereka sampai umur baligh, mereka keluar dari
rumah membawa jalan sendiri, mereka tidak ambil tahu tentang keluarga, tidak
ambil tahu tentang bapa, ibu, kita bukan seperti itu, bagi kita seseorang anak
terikat dengan keluarganya, setiap hari bagi para ibu adalah hari perayaan
baginya, bukan hanya sehari dalam setahun. Sebaliknya bagi orang-orang barat
mereka tidak melihat anak-anak mereka, demikian juga anak-anak tidak melihat
ibu-bapanya, kerana itu mereka mengadakan hari bapa dan hari ibu, sedangkan
kita tidak memerlukan perkara itu, sebaliknya kita terikut-ikut dengan mereka
secara buta. – tamat terjemahan -
Teks Asal:
السؤال الأول: ما قولكم يا فضيلة الشيخ حول عيد الميلاد بالنسبة
للأطفال؟
والسؤال الثاني: كذلك عيد الأم الذي يطبقه كثير من الناس
ويقتدون بغيرهم والنبي صلى الله عليه وسلم يقول "لتتبعن سنن من قبلكم شبراً
بشبر".
القرضاوي:
أما السؤالان الأولان للأخ السائل جزاه الله خيراً فمنشئهما هو
التقليد الأعمى، أننا نريد أن نصبح أذناباً لغيرنا وقد خلقنا الله رؤوساً، وأن
نكون عبيداً للغرب وقد خلقنا الله أحراراً، الغرب يعمل أعياد الميلاد للأطفال
وللكبار، فنحن نقلد الغربيين ونفعل مثل هذا حتى الإنسان الكبير يعمل لنفسه عيد
ميلاد، فقد مرت عليك سنة والمفروض أن تحاسب نفسك على هذه السنة، وتقعد تبكي على
نفسك لا أن تشعل الشموع وتحتفل بنفسك، أيضاً بالنسبة للأولاد اتخاذ هذه العادة لهم
سنوياً لا يجوز، أنا أقول أنه يمكن أن نحتفل بالأولاد في مناسبات معينة مثل عندما
يولد المولود نحتفل به، ونعمل له عقيقة، وعندما يبلغ سبع سنوات نحتفل به ونقول له
هذه سن الصلاة، ونقول له: والآن يا بطل نعمل لك حفلة للصلاة فأنت مطلوب منك الصلاة
من الآن، ونأكل الكعكة ونشرب العصائر، فهذه حفلة الصلاة، وعندما يبلغ 10سنين نعمل
حفلة أخرى "حفلة الضرب" نقول له: نحن عملنا لك حفلة من 3 سنين سابقة حتى
تصلي الآن كبرت وإذا لم تصل تستحق الضرب، وبعدما يبلغ 15 سنة نعمل له حفلة أنه بلغ
سن التكليف، هذه حفلات بمناسبات وليس كلما ازداد سنة نعمل له حفلة، ثم نعمل له
حفلة بمناسبات أخرى كلما ينجح نعمل له حفلة، فعندما يقدم عمل جيد نحتفل به، وكذلك
بالنسبة للفتاة، بالإضافة إلى ما سبق يمكن أن نحتفل بها عندما ترتدي الحجاب، فهذه
الحفلات لمناسبات ولا نحتفل بهم كل سنة.
بالنسبة للأم الغربيين عملوا عيد الأم لأن الغربيين بعد أن يبلغ
الولد والبنت يذهب كل واحد في حال سبيله ولا يعرف الأسرة ولا يعرف الأب ولا يعرف
الأم، نحن لسنا هكذا، عندنا الابن مرتبط بأسرته والابنة مرتبطة بأسرتها، وكل أيام
أمهاتنا أعياد وليس يوماً في السنة، إنما هم لأنه لا يرى أحد عندهم أولاده ولا
الأولاد يرون آبائهم، فعملوا يوم للأب ويوم للأم، نحن ما حاجتنا لهذا، نحن نقلدهم
تقليداً أعمى، وإن كان ولابد أن نحتفل بها فلنحتفل بها في عيد الفطر وعيد الأضحى،
فلو واحد غائب عن أمه يروح يزورها يوم عيد الفطر ويوم عيد الأضحى فهذا لا معنى له.
Labels:
Dr. Yusuf al-Qaradhawi
Sumber Blog:
http://bin-sahak.blogspot.com/2012/05/al-qaradhawi-hukum-perayaan-hari-ibu.html
Langgan:
Catatan (Atom)