11 Jun
Kebangsawanan
merupakan anugerah Allah untuk segelintir manusia. Tidak semua manusia
dilahirkan dengan darah raja dan sultan. Islam mengiktiraf kedudukan
dan kelebihan kaum bangsawan. Sebab itu kedudukan raja-raja sebelum dan
selepas kedatangan Islam dikekalkan oleh Rasulullah SAW setelah mereka
menerima Islam. Rasulullah SAW tidak diutuskan untuk menghapuskan
golongan diraja, tetapi dalam masa yang sama baginda membawa firman
Allah ini:
“Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah ialah mereka yang bertaqwa”
Taqwa adalah darjat yang lebih tinggi
daripada raja dan sultan, baik di dunia atau lebih-lebih lagi di
akhirat. Namun apa yang menarik, kebangsawanan adalah satu nikmat yang
boleh digunakan sebagai alat untuk mencapai darjat taqwa. Inilah
kelebihan yang sepatutnya disedari dan mula digunakan oleh golongan
bangsawan.
Sejarah Islam telah memaparkan dua jenis
golongan bangsawan – yang menerima Islam dan yang memusuhi Islam. Mereka
yang menerima Islam, terbukti telah menjadi peluang yang baik, dan bagi
yang menentang, mereka menjadi musuh yang paling menyusahkan.
Sejarah kegemilangan Islam telah
diharumkan oleh raja-raja berjiwa sufi seperti maharaja Najasyi, Umar
Ibnu Aziz, Sultan Salehuddin Al Ayubi, Sultan Murad II, Sultan Muhammad
Al Fateh, Maharaja Aurangzeb dan juga sultan-sultan di alam Melayu pada
zaman pertengahan.
Namun sejarah juga telah memaparkan
golongan bangsawan “Bersultan di mata, bertuhan di hati” seperti Firaun,
Namrud dan raja-raja pada abad ke-20 seperti Al Malik Farouq di Mesir
dan Reza Shah di Iran.
Kebangsawanan, harta dan kuasa selalunya
beriringan. Siapa raja dialah berkuasa. Namun hakikatnya, semua raja
adalah hamba yang hina-dina di hadapan Allah SWT. Oleh itu, raja-raja
yang bijak akan menggunakan nikmat itu untuk berbakti kepada Allah.
Harta, kuasa dan pengaruh, semuanya dikorbankan untuk Allah. Mereka
inilah yang menjadi raja di dunia dan ‘raja’ di akhirat. Sepanjang zaman
rakyat berdoa agar raja-raja yang pernah berkuasa di dunia ini berjaya
berbuat demikian.
Mengapa?
Sebabnya, raja-raja sangat terdedah
kepada ujian dunia. Bukan mudah untuk membebaskan diri daripada tipuan
dunia. Apalagi jika ia telah melimpah ruah di tangan. Dunia boleh jadi
kepala segala kejahatan. Lebih mudah untuk tidak mencintai dunia semasa
tidak ada, daripada ketika ia sudah berada dalam genggaman. Umar Al
Khattab menangis ketika dibawa ke hadapannya mahkota maharaja Parsi,
lantas berkata “Sesungguhnya aku takut perkara-perkara inilah (harta)
yang akan menjauhkan kita dengan Allah.”
Menjadi orang miskin yang sabar adalah
payah, namun menjadi orang kaya yang syukur jauh lebih payah. Ini
disebabkan manusia sering lupa apabila diuji nikmat daripada diuji
dengan bala. Walau bagaimanapun ini tidak bermakna sudah tidak ada jalan
untuk raja-raja membebaskan diri daripada godaan dunia. Mereka boleh
berbuat demikian dengan bantuan para ulama.
Ulama perlu menjadi penasihat kepada
raja. Ertinya, ulama mestilah menjadi “the man behind the curtain” dalam
mempengaruhi, mendidik dan menasihat raja-raja. Dan kadangkala ulama
perlu memberi amaran dan peringatan kepada raja-raja untuk melaksanakan
kehendak-kehendak Allah.
Raja mempunyai harta dan kuasa. Ulama
mempunyai ilmu dan kekuatan rohani. Jika semua kekuatan ini digabungkan
untuk Islam nescaya ia akan menjadi satu kuasa besar yang tiada tolok
bandingnya.
Pada zaman kegemilangan Islam, raja-raja
sering didampingi oleh ulama-ulama yang ikhlas. Masih basah dalam
ingatan kita bagaimana indah dan menyentuhnya dialog-dialog keramat
antara Sayidina Jaafar bin Abi Talib dengan Maharaja Najasyi. Dan masih
terpahat kukuh dalam hati setiap orang mukmin bagaimana hebat dan
berwibawanya surat-surat yang diutuskan oleh Rasulullah SAW kepada
maharaja-maharaja dunia.
Ingatan, didikan dan tiupan angin
kesadaran dalam surat-surat Rasulullah SAW dan kata-kata Jaafar At
Tayyar itu tidak sedikitpun dicemari oleh kepentingan-kepentingan
duniawi. Langkah-langkah inilah kemudiannya menjadi panduan dan ikutan
ulama-ulamayang mengelilingi Umar Ibnu Aziz, Sultan dan Salehuuddin Al
Ayubi, Muhammad Al Fateh dan Sultan-sultan Islam yang agung dalam
sejarah. Di belakang mereka itu sentiasa ada ulama ul amilin!
Bagaimana ulama-ulama ini mendidik hati
raja-raja berdarah bangsawan hingga jiwa mereka menjadi jiwa sufi
meskipun darah mereka masih darah raja? Untuk itu marilah kita dengar
apa kata Imam Auzai’ kepada Khalifah Al Mansur:
Wahai Amirul Mukminin, Rasulullah bersabda:
“Sesiapa sahaja di kalangan pemerintah, apabila mati dalam keadaan menipu rakyatnya, nescaya diharamkan syurga untuknya.”
Wahai Amirul Mukminun! Sesiapa yang
benci kepada kebenaran, sesungguhnya ia benci kepada Allah. Kerana
sesungguhnya Allah itu benar lagi membenarkan. Hendaklah tuanku tegakkan
kebenaran dan keadilan ke atas rakyat. Tutuplah aurat (keaiban) mereka.
Janganlah dikunci pintu rumah tuanku, atau mengadakan hijab
(penghalang) di antara tuanku dengan mereka. Hendaklah tuanku bergembira
dengan nikmat yang mereka terima, tetapi bersimpati dengan musibah yang
menimpa meeka.
Wahai Amirul Mukminin! Urwah bin
Ruwain berkata: “Pernah Rasulullah memiliki pelepah kurma yang digunakan
untuk bersugi hingga menakutkan kaum munafik. Kemudian turunlah Jibril
bertanya: Hai Muhammad! Apakah pelepah kurma ini engkau gunakan untuk
menghancurkan atau menakutkan hati umatmu?”
Wahai Amirul Mukminin! Relakanlah
dirimu dengan dirimu! Dan carilahh keamanan daripada Tuhanmu! Gemarlah
kepada syurga yang luasnya langit dan bumi. Ingatlah sabda Rasulullah:
“Sesungguhnya panah yang dimiliki oleh ahli syurga itu lebih baik daripada dunia dan seisinya.”
Wahai Amirul Mukminin! Sesungguhnya
jika sesebuah kerajaan yang sebelummu itu kekal, nescaya ia tidak akan
sampai kepadamu. Begitu jugalah, ia tidak akan kekal di tanganmu atau
sesiapa sahaja.
Wahai Amirul Mukminin! Ingatlah
kata-kata Umar Al Khattab: “Jika mati anak kambing di tepi sungai Furat
(Iraq), nescaya aku takut akan dipertanggungjawabkan mengenainya di
akhirat kelak!”
Maka bagaimana pula halnya dengan rakyatmu yang tidak beroleh keadilan daripadamu sedangkan ia sangat hampir denganmu?”
Peringatan seperti ini sebenarnya hanya
berani disuarakan oleh ulama yang mempunyai kekuatan jiwa yang luar
biasa dan bekerja kerana Allah. Dalam suratnya kepada khalifah itu, Imam
Auzai’ menyambung:
Wahai Amirul Mukminin! Allah telah
berfirman: “Hai Daud! Sesungguhnya Kami jadikan engkau khalifah di muka
bumi. Sebab itu putuskanlah sesuatu perkara di antara rakyatmu dengan
kebenaran. Janganlah engkau turuti kemahuan nafsumu, nanti engkau akan
disesatkan dari jalan Allah.” – Shad:26
Wahai Amirul Mukminin! Rasulullah bersabda:
“Setiap pemerintah akan dibawa pada
hari kiamat dengan tangannya dirantaikan ke leher. Ia hanya dapat dibuka
oleh keadilannya. Ia diberhentikan di atas titian sirat di atas neraka
yang akan bergerak dengan suatu gerakan yang akan menghilangkan seluruh
anggota daripada badan…”
“Kemudian ia dikembalikan. Lalu
dihitung amalannya. Kalau ia dahulu berbuat baik, nescaya ia lepas
dengan kebaikannya. Kalau ia dahulu berbuat jahat, nescaya pecahlah
titian itu, lalu ia terhumban ke dalam neraka tujuh puluh kharif (jarak
masa setahun).”
Wahai Amirul Mukminin! Umar r.a. berkata: “Amir (pemerintah) itu ada empat jenis:
Amir yang kuat; yang dapat mengawal
dirinya sendiri sahaja dan tidak pegawai-pegawainya. Ia berada di tepi
jurang kebinasaan. Kecuali Allah menurunkan rahmat ke atasnya.
Amir yang dapat mencegah
pegawai-pegawainya tapi membiarkan dirinya mengikut hawa nafsu. Ia dalam
keadaan yang membahayakan sebagaimana sabda Rasulullah: “Pengembala
yang terjahat itu bahaya yang menghancurkan. Dia itu binasa sendiri.”
Dan Amir yang membiarkan dirinya dan pegawai-pegawainya menurut hawa nafsunya. Mereka kesemuanya akan binasa.”
Wahai Amirul Mukminin! Umar Al Khattab telah berdoa:
“Wahai Tuhanku. Sekiranya menurut
ilmu-Mu, aku akan terpengaruh, apabila dua rakyatku dihadapkan kepadaku,
kepada yang miring daripada kebenaran, baik yang dekat atau jauh, maka
janganlah Engkau biarkan aku walaupun sekelip mata.”
Wahai Amirul Mukminin! Sesungguhnya
yang paling berat ialah berdiri tegak untuk menegakkan kebenaran, kerana
Allah. Yang paling mulia di sisi Allah ialah taqwa. Sesiapa yang
mencari kemuliaan dengan mentaati Allah, nescaya ia akan diangkat dan
dimuliakan oleh Allah. Sesiapa yang mencari kemuliaan dengan membuat
maksiat kepada Allah, nescaya ia dihina dan direndahkan oleh Allah.
Itulah strategi ulama-ulama dahulu dalam
mempengaruhi raja supaya institusi istana digunakan untuk agama. Cara
yang sama telah digunakan oleh ulama-ulama sufi atau guru tareqat
apabila mereka mula membawa agama Islam ke alam Melayu. Dengan jiwa yang
penuh dengan kekuatan iman, fizikal yang tahan lasak dan pemikiran
tahap tinggi, ulama-ulama sufi ini telah berjaya menembusi pintu istana
raja-raja dan peribumi Melayu yang asalnya beragama Hindu.
Ini zaman kebangkitan Islam. Sudah
sewajarnya golongan di raja muncul sekali lagi untuk mendaulatkan agama.
Pilihan terletak sepenuhnya di tangan mereka; apakah mereka ingin
mengikuti jejak Kisra Parsi yang menolak Islam ataupun mahu menjadi
Najasyi yang tunduk kepada ajaran Islam?
Kebangkitan Islam bukanlah satu gelombang
anti feudal yang memusuhi golongan bangsawan. Rasulullah SAW sendiri
telah mengisytiharkan, barangsiapa yang memasuki rumah bangsawan Mekah,
Abu Sufian, ketika peristiwa penaklukan Mekah (Futuh Mekah), orang itu
dijamin keselamatannya.
Ini menunjukkan kemaraan Islam bukanlah
satu revolusi yang menumpahkan darah raja sepertimana revolusi Perancis
ataupun revolusi Rusia. Ia adalah satu ‘revolusi’ hati yang merubah
manusia dengan kasih-sayang. Islam hanya memusuhi kebatilan dan
kemungkaran, Islam tidak akan menghapuskan perbezaan-perbezaan fitrah
yang sedia wujud dalam kehidupan manusia.
Namun sehingga saat ini, hubungan antara
ulama-ulama sufi dan raja-raja masih jauh daripada tahap yang pernah
berlaku dalam sejarah. Ini disebabkan ‘ulama-ulama’ yang mengelilingi
raja-raja belum mampu menjadikan raja sebagai ‘murid’ mereka.
Kita masih kekurangan ulama yang mampu mencontohi Imam Malik, yang dengan berani berkata kepada Khalifah Harun Al Rashid:
“Jika Khalifah ingin belajar kitab
Muwattuk daripadaku, hendaklah ia datang ke mari, bukan aku ke
istananya. Ilmu itu didatangi, bukan mendatangi.”
Ulama mesti berdiri teguh sebagai tunggak
peribadi yang berani menegur kesalahan pemerintah. Mereka bebas
daripada belenggu cinta dunia hingga dengan itu tidak berasa takut
ataupun segan berdepan dengan sultan ataupun raja. Inilah yang
dimaksudkan oleh oleh ungkapan:“Alangkah baiknya seorang raja yang
berada di pintu ulama, dan alangkah buruknya seorang ulama yang selalu
berada di pintu para rajanya.”
Sejarah telah membuktikan ulama-ulama ul
‘amilin tidak pernah gentar berdepan dengan penyelewengan pemerintah.
Mereka mewarisi sifat Nabi Musa ketika berdepan dengan Firaun, Nabi
Ibrahim berdepan dengan Namrud dan Nabi Muhammad SAW ketika berdepan
dengan bangsawan-bangsawan Quraisy. Ulama-ulama ini sedar, rakyat sangat
dipengaruhi oleh raja-raja mereka.
Contohnya, pada zaman pemerintahan
Khalifah Al Walid yang sukakan bangunan cantik, minat rakyat ketika itu
pun kepada seni bina. Pada zaman Khalifah Sulaiman yang sukakan
perempuan dan arak, minat dan perbualan rakyatnya pun berlegar sekitar
perempuan dan arak. Namun, pada masa pemerintahan Khalifah Umar ibnu
Aziz yang warak dan beramal soleh, tindakan rakyat jelata pun ikut ke
arah amal soleh.
Atas dasar inilah ulama-ulama ul ‘amilin
yang berjiwa sufi bekerja keras bagi mempengaruhi raja-raja untuk
diarahkan kepada Islam. Ulama-ulama dahulu mempengaruhi, bukan
dipengaruhi oleh raja-raja. Ini hanya mampu dilakukan oleh ulama yang
bekerja kerana Allah, dan berkhidmat untuk manusia. Namun apabila
dilihatnya raja-raja masih berdegil, ulama berjiwa sufi ini akan
menjauhkan diri daripada raja-raja. Mereka tidak mahu menjadi tukang
angguk kepada kemungkaran-kemungkaran yang dilakukan oleh golongan
bangsawan.
Zaman keruntuhan Islam bermula apabila
ulama-ulama suuk mengelilingi raja-raja, seperti Haman dan Qarun
mengelilingi Firaun. Bangsa Tartar datang memusnahkanBaghdadketika
ulama-ulamanya leka berbahas soal-soal khilafiah. Malah sampai satu
ketika raja-raja dan rakyatBaghdadterlalu bersuka ria pada Hari Raya
ditangguhkan sampai menjelang waktu Asar. Ke mana perginya ulama ul
‘amilin ketika itu? Mengapa kemungkaran rakyat dan rajanya tidak
mendapatkan teguran dan peringatan?
Sabda Rasulullah SAW: “Ada dua golongan
manusia, jika baik kedua-duanya, baiklah manusia dan apabila
kedua-duanya rosak, rosaklah manusia, iaitu ulama dan para pemimpin.”
Golongan bangsawan mesti bangkit semula
menyahut seruan kebangkitan Islam. Lupakah mereka bahawa Rasulullah SAW
pernah memuliakan rumah Abu Sufian setaraf dengan Kaabah ketika
penaklukan Mekah?
“Siapa yang masuk ke rumah Abu Sufian…selamat.” “Siapa yang masuk ke dalam Kaabah….selamat.”
Ini menunjukkan penguasa amat penting
kedudukannya jika ia dijadikan institusi membersihkan hati dan pusat
mendaulatkan Islam. Istana mulia kerana peribadi penghuninya (raja) yang
berjiwa sufi, bukan kerana keindahan dan kemewahannya. Seorang raja
yang memiliki jiwa tawaduk di dalam istananya adalah lebih mulia
daripada seorang sufi yang beruzlah di dalam bilik suluknya. Sesungguhnya raja-raja seperti itulah yang mewarisi sifat Nabi Sulaiman,
jasadnya dia atas tahta tetapi hatinya tunduk menyembah Allah.
Islam akan bangkit sekali lagi dengan
munculnya pemimpin-pemimpin yang mewarisi sifat-sifat kepimpinan
Rasulullah SAW, para sahabat dan raja-raja yang berjiwa Islam. Dunia
ditadbir semula oleh individu yang tidak mencintainya. Keamanan dan
kebahagiaan akan berkumandang apabila umat diperintah oleh orang
seperti:
- Umar Al Khattab, yang telah berkata: “Jika mati anak kambing di tepin sungai Furat, nescaya aku takut akan dipertanggungjawabkan mengenainya di akhirat kelak.”
- Umar Abdul Aziz, yang berkata: “Jauhkanlah aku daripada jawatan khalifah seperti jauhnya timur dan barat. Sesungguhnya urusan ini telah menggulungkan bala di atas bahuku.”
- Ali bin Abi Talib, yang berkata: “Wahai dunia, tipulah orang lain, jangan tipu aku.”
Raja-raja atau pemerintah seperti ini
tidak akan wujud selagi tidak ada ulama seperti Nizam Al Muluk, yang
telah berkata kepada Raja Malik Syah sewaktu bersiap sedia untuk menawan
Konstantinopel:
“Saya telah menyediakan untuk tuan-tuan
satu angkatan tentera yang disebut ‘tentera malam’. Apabila tentera
bersenjata tidur, merekalah yang menjadi tentera tuanku. Mereka berdoa
ke hadrat Allah dengan linangan air mata dan lidah yang terus-menerus
berzikir kepada Allah…”
Kita sentiasa mengaminkan doa oleh para
ulama untuk para umara di mimbar-mimbar masjid menjelang solat Jumaat –
mohon hidayah dan petunjuk untuk mereka kerana mereka adalah tonggak
kebaikan ummah. Baik ulama, baik umara, dan seterusnya baiklah ummah.
Amin ya Allah. Amin.
Raja-raja akan berjiwa sufi apabila ulama mencintai mati! Insya-Allah.
Di copy Dari: http://genta-rasa.com/2012/06/11/pesan-yang-datang-dari-hati/#more-2171
slm... baju LFC malaysia tu, baju KPLM ker.. klau berminat, sila pm admin yg berkenaan.
BalasPadam-SG- 019-2617430
atau sila isi form temphn disini sblm 18 jun 2012. tq
http://kp-liverpoolmalaysia.blogspot.com/2012/05/pre-order-kplm-t-shirt-1st-edition.html