~Assalamua'alaikum warahmatullah...
Teori Evolusi Cinta
Penulis : Ust Hasrizal Jamil @ Abu Saif (2009)
“Korang ni asyik bergayut telefon sampai jauh-jauh malam, tak fikir ke yang benda ni salah?” tanya Siti kepada rakan sebiliknya.
“Kami bincang bab persatuanlah. Jangan buruk sangka. Ini benda basic dalam agama. Takkan itu pun nko tak tahu?” balas Nur.
Keras bunyinya.
Terganggu dengan teguran Siti itu barangkali.
“Alaaa, kita orang study je. Bukan ada buat apa pun. Come on la wei!” Zul berasap telinga. Bengang ditegur Farhan.
“Kalau tak boleh macam ni, habis yang orang kat Mekah tu bercampur aduk keliling Kaabah, nko ingat masa tu orang tak ada nafsu ke? Kenapa di situ boleh, tapi kat sini banyak pula songel kau?” bentak Bob yang amat berbulu mendengar tazkirah Halim. Manusia bijak membuat justifikasi. Pemikiran kreatif seorang manusia, bijak sekali mencari ruang-ruang di celah hukum untuk mengharuskan perlakuan mereka.
‘KEBIJAKAN’ BANI ISRAEL DAN TANGKAPAN IKAN SABTU
Seperti
gelagat Bani Israel yang diharamkan bekerja menangkap ikan pada hari
Sabtu. Tujuannya ialah supaya hari itu didedikasikan sepenuhnya kepada
ibadah khusus mereka kepada Allah. Namun kaum yang bijak ini, pantas
bermain helah. Kreativiti minda mereka digunakan untuk memasang
perangkap dan jaring supaya ikan-ikan itu tersangkut dengan sendiri
tanpa mereka sendiri melakukannya dengan tangan. Justeru bolehlah
dihujahkan dengan bijak kepada Allah bahawa mereka tidak menangkap ikan,
sebaliknya ikan itu yang tertangkap sendiri, dan halal benarlah
perbuatan itu bagi mereka.
“Salah ikan, bukan salah kami!” barangkali begitulah helah mereka.Firman Allah Subhanahu wa Ta’aala:
“”Dan
tanyakanlah kepada mereka (wahai Muhammad) mengenai (penduduk) bandar
yang letaknya di tepi laut, semasa mereka melanggar larangan pada hari
Sabtu, ketika datang kepada mereka pada hari Sabtu itu ikan-ikan (yang
menjadi cubaan kepada) mereka, yang kelihatan timbul di muka air; sedang
pada hari-hari lain, ikan-ikan itu tidak pula datang kepada mereka.
Demikianlah Kami menguji mereka (dengan cubaan itu) kerana mereka
sentiasa berlaku fasik lagi durhaka”
[al-A'araaf 7: 163]
Mereka
membelok hujah ke sana sini untuk menyedapkan hati sendiri. Apabila
akal fikiran yang dikurniakan Allah digunakan untuk menipu Allah,
turunlah darjat manusia kepada kerendahan yang hina. Akal dikurniakan
Allah kepada manusia agar dengan akal itu manusia tunduk mentaati-Nya,
bukan berputar belit mencipta alasan menipu Dia. Akal yang digunakan
untuk menipu Tuhan, adalah sebuah kehinaan terhadap kejadian manusia.
“Asfala saafileen (tempat serendah-rendahnya),” kata al-Quran surah At Tiin ayat 5.Justeru mereka beralih kejadian, dihukum Allah menjadi makhluk yang lebih sepadan dengan kerendahan itu:
“Dan
sesungguhnya kamu telah mengetahui (bagaimana buruknya akibat)
orang-orang di antara kamu yang melanggar (larangan) pada hari Sabtu,
lalu Kami berfirman kepada mereka: “Jadilah kamu kera yang hina!” [al-Baqarah 2: 65]
Inilah TEORI EVOLUSI CINTA.
Bermula dengan sebaik-baik kejadian, mereka bermain cinta murahan
beralaskan akal dan hujah-hujahnya. Dengan cinta sehina itu, manusia
beransur-ansur turun sifat kemanusiaannya. Hilang malu yang menjadi
benteng iman. Akhirnya menjadi kera. Kera itulah barangkali yang
terkinjal-kinjal dilamun cinta monyet terkena sumpahan Allah ke atas
kaum yang mensesiakan akal kurniaan Tuhan untuk menipu Tuhan.
Kredit lukisan : Keri Ikhwan |
Lupakah kita kepada sebab musabab mengapa Allah Subhanahu wa Ta’aala mengajar agar dalam pergaulan ini biar ada batasan? Ayuh kita pulang sejenak kepada firman-Nya:
“Dan
apabila kamu meminta sesuatu yang harus diminta dari mereka maka
mintalah kepada mereka dari sebalik hijab. Cara yang demikian lebih suci
bagi hati kamu dan hati mereka” [al-Ahzaab 33: 53]
Hijab
itu tafsirannya luas. Sama ada hijab itu merujuk kepada pengertian
asalnya yang bererti tabir penutup, atau kepada konsep yang lebih luas
mengenainya, hijab itu membawa pengertian batas-batas yang menghadkan
pergaulan kita. Hijab yang membataskan tingkah laku, hijab yang
membataskan pandangan dan pengamatan, hijab yang membataskan
pendengaran, bahawa di antara lelaki dan perempuan itu,
kehendak-kehendak Allah menjadi pagar antara keduanya.
Apakah
tujuannya semua itu? Inilah yang gagal difahami oleh kaum yang bijak
pandai ini. Mereka berdolak dalih tentang alasan-alasan sosial serta
maslahah awam, serta tidak segan silu mencari pula hujah-hujah yang
berkonotasi agama untuk menolak keperluan batas-batas ini.
Sedangkan Allah Subhanahu wa Ta’aala memerintahkan kita menjaga batas ini, adalah untuk mengawal sesuatu yang manusia lemah terhadapnya.
Iaitulah soal HATI!!
“Cara yang demikian lebih suci bagi hati kamu dan hati mereka”
Ya,
siapakah yang lebih kenal akan soal hati selain Dia? Dia yang
menggelarkan hati kita sebagai QALB, iaitu sesuatu yang berbolak balik
terlentang terlangkup dengan begitu mudah di sepanjang perjalanan hidup
ini. Sesungguhnya dengan segala unsur bijak yang ada di minda, kita
terlupa bahawa Allah mahu menyelamatkan kesucian HATI, yang tidak mampu
ditanggung logik. Akal kita dengan ilmu di puncak menara gading mana
sekali pun, tidaklah kuat untuk mengawal hati. Akal itu menteri, rajanya
adalah hati. Sering sahaja raja yang berkuasa itu berpaling tadah dari
akal kepada NAFSU.
Mulut
kalian tidak menyebut. Tetapi Allah mendengar debar rasa di sebalik
pergaulan itu. Tubuh kamu tidak menampakkan calar. Tetapi Allah melihat
kesan-kesan luka panahan Iblis yang menembus daging dan tulang temulang
jati dirimu. Jika soal halal dan haram itu terlalu banyak liku-likunya, pertimbangkanlah soal kesucian hatimu.
Wahai anak-anak muda yang kemaruk cinta, sama ada cinta itu versi YOU and I atau versi ANA wa ANTI,
bertaqwalah kalian kepada Allah. Jangan nanti disumpah Allah cinta itu
menjadi cinta kera, kaum yang dihina Allah kerana terlalu bijak cuba
melicik Dia.
Allah memerintahkan kamu bercinta secara MANUSIA berpaksikan TAQWA, namun sengaja segelintir kamu mengundang sumpahan cinta KERA berbungakan DOSA.
Tersungkurlah kamu penuh kehinaan di lembah TEORI EVOLUSI CINTA..
p/s: Best artikel ni...Ramai yang terperangkap, maka berhati-hatilah
Di copy dari : http://lidahsufi.blogspot.com/2012/06/teori-evolusi-cinta.html
Tiada ulasan:
Catat Ulasan